MANCHESTER – Legenda Manchester United, David Beckham menghamburkan pujian kepada pengendali interim pasukan itu, Michael Carrick apabila menyifatkan beliau membawa kestabilan untuk skuad itu buat kali pertama dalam tempoh sedekad.
Beckham mengakui pemilihan Carrick adalah tepat dalam misi mengubah nasib United dan memastikan mereka berjaya mengesahkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara pada musim depan.
Carrick yang menggantikan Ruben Amorin pada 13 Januari lalu sudah mengemudi United untuk tempoh 75 hari dan mengharungi 10 aksi Liga Perdana Inggeris menerusi tujuh kemenangan, dua seri dan hanya berdepan satu kekalahan.
“Ya, saya perlu mengakui bahawa sejak beberapa bulan lalu pasukan ini menjadi lebih selesa berbanding sejak 10 tahun lalu.
“Saya fikir Michael memiliki pengalaman dan ketenangan yang dibawa masuk ke kelab ini. Beliau mengenali pemain, tahun cara permainan United dan faham bagaimana sepatutnya United beraksi,” katanya.
Sementara itu, bekas rakan sepasukan Beckham, Wayne Rooney turut memiliki pandangan sama dan mengakui pihak pengurusan United sepatutnya sudah menghentikan proses mendapatkan pengurus baharu.
“100 peratus beliau sepatutnya mendapatkan kontrak tetap. Saya tahu Michael Carrick mampu membawa perubahan besar untuk kelab. Saya mengenalinya dengan baik, saya tahu karakter dan personaliti beliau,” ujarnya. – AGENSI














