KUALA LUMPUR – Atlet berbasikal trek remaja negara, Sawda Hasbullah mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 selepas memenangi acara 1 kilometer (km) ujian masa remaja wanita.
Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Tagaytay City, Filipina sebentar tadi, atlet berusia 18 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga bagi melakukan catatan masa 1 minit 09.604 saat (s), sekali gus rekod baharu remaja Asia.
Catatan yang dibuat itu membuktikan Sawda semakin menunjukkan peningkatan memandangkan dia memperbaharui rekod lamanya 1:10.818s yang dilakukan pada edisi tahun lalu di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan.
Mengiringi pelumba kelahiran Melaka itu di podium adalah atlet Korea Selatan, Lee Hyunji yang melakukan catatan 1:10.640s bagi meraih pingat perak manakala gangsa menjadi milik S. Thabitha dari India dengan 1:12.613s.
Dalam kategori lelaki, wakil negara, Muhammad Eirzam Eidham Che Mazri tidak dapat mengikuti jejak langkah Sawda apabila terpaksa berpuas hati menamatkan acara final di tempat keempat selepas mencatat 1:04.407s.
Sementara itu, hasrat bintang berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri untuk mempertahankan pingat gangsa dalam acara pecut elit individu wanita tidak kesampaian apabila tewas kepada Wang Lijuan dari China.
Pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu tewas dengan keputusan 0-2 dengan Lijuan melakukan catatan masa 11.235s dalam perlumbaan pertama serta 11.071s untuk saingan kedua.
Pingat emas bagi acara tersebut dimenangi pelumba dari China, Yuan Liying yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan dari Jepun, Mina Sato. – KOSMO! ONLINE














