GOMBAK – Seorang penuntut Tahun 1 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) maut, manakala dua lagi rakannya cedera dalam nahas di Kilometer (KM) 25.40, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, di sini malam semalam.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Nurul Syakirah Muhammad Nizam yang merupakan penuntut Undang-Undang dan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) USIM.
Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Nurul Syakirah di atas pemergian tersebut.
Dua lagi mangsa yang terlibat ialah Nurul Huda Mohd Hassan dan Nurus Sakinah Hashim yang merupalan penuntut Tahun 1 Kursus Fiqh dan Fatwa. Mereka menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Selayang di sini.
Menurut laporan awal, kejadian berlaku pada pukul 8.10 malam apabila tiga pelajar tersebut dalam perjalanan ke Nilai bagi memulakan semester baharu.
Kereta jenis Perodua Axia yang dipandu Nurul Syakirah dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik di lorong kanan. Difahamkan, mangsa tercampak atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Hospital Selayang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung kemalangan itu dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE














