KANGAR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine bernilai RM25.5 juta menerusi tiga siri serbuan di sekitar negeri ini baru-baru ini.
Sindiket tersebut mempunyai kepakaran menyeludup bahan terlarang dan mahir selok-belok kawasan sempadan negeri selain mempunyai kaitan dengan sindiket di Thailand serta rangkaian pengedaran tempatan dalam negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi yang dijalankan dari 24 hingga 28 Mac lalu berjaya menahan lima individu tempatan berusia antara 23 hingga 37 tahun.
“Dalam serbuan pertama di sekitar Jalan Utama Wang Kelian, Kaki Bukit, pihak polis menahan dua kenderaan dinaiki tiga suspek sebelum merampas 20 guni mengandungi 500 paket plastik disyaki methamphetamine seberat 510 kilogram. Kita juga terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah kenderaan suspek selepas mereka bertindak agresif dan mengancam keselamatan anggota,” katanya.
Menurut beliau, susulan tangkapan itu, serbuan seterusnya pada 27 dan 28 Mac berjaya menahan dua lagi lelaki tempatan di kawasan sama.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan mencecah RM25.5 juta dan boleh merosakkan kira-kira 2.55 juta pengguna. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Ogos tahun lalu dengan ahli berperanan sebagai koordinator, transporter serta peninjau keselamatan dalam rangkaian pengedaran,” ujarnya.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek lelaki positif methamphetamine manakala suspek wanita negatif daripada sebarang jenis dadah, selain kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes narkotik.
“Modus operandi sindiket adalah mengambil bekalan dadah yang dibawa masuk ‘tentera semut’ melalui laluan haram di kawasan hutan berhampiran Wang Kelian-Kaki Bukit sebelum dihantar ke lokasi transit sekitar Perlis untuk diedarkan sindiket lain di Lembah Klang dan selatan Semenanjung Malaysia selain turut membawa ahli keluarga bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek kini direman antara lima hingga tujuh hari bermula 25 Mac lalu hingga 4 April ini bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














