KUALA LUMPUR – Penulis blog Papagomo didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut dengan mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung KK Supermart dua tahun lalu.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman denda itu ke atas Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 43, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah diakhir kes pembelaannya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama empat bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.
“Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan hukuman denda RM4,000 dan penjara empat bulan jika gagal membayar denda. Wang jaminan dikembalikan,” kata Hakim Norma.
Sejurus selepas prosiding tamat, isteri Papagomo yang berada di galeri awam dilihat mencium tangan suaminya.
Terdahulu sebelum hukuman denda dijatuhkan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman dalam hujahan pemberatan hukuman berkata, Papagomo bukan individu biasa kerana dia adalah bekas anggota polis.
“Dia sedar sebab dan akibat perbuatannya dengan menghasut sehingga menyebabkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong dalam Twitter (X).Dia juga bukan pesalah muda dan mengikut latar belakang, dia ada pengetahuan undang-undang tetapi memilih untuk mebuat hantaran sebegitu di media sosial.
“Undang-undang digubal demi menjaga ketenteraman awam. Hantaran yang dibuat berbentuk kata-kata kesat yang menghina terhadap Yang di-Pertuan Agong, oleh itu hukuman denda sahaja tidak memadai kerana ia tidak mencerminkan keseriusan kesalahan tertuduh,” katanya.
Sementara peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Papagomo memohon mahkamah tidak mengenakan pemenjaraan sebaliknya hukuman denda dengan alasan tertuduh merupakan bapa lima anak.
“Semasa perbicaraan tertuduh telah memberi kerjasama sepenuhnya termasuk hadir ke balai polis bagi melapor diri (seperti syarat ditetapkan mahkamah) selain merupakan kesalahan pertama bagi kes hasutan,” kata peguam itu.
Pada 2 Mei 2024, tertuduh didakwa telah menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. mengadap Sultan Ibrahim di laman X miliknya.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini, pukul 12 tengah hari pada 29 April 2024.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala Papagomo merupakan saksi pembelaan tunggal. – KOSMO! ONLINE














