TEHRAN – Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menuduh Amerika Syarikat(AS) sedang merancang serangan darat walaupun secara terbuka melancarkan usaha diplomatik untuk menamatkan perang, lapor akhbar Arab News.
“Musuh secara terbuka menghantar mesej rundingan sambil secara rahsia merancang serangan darat. Kami sedang menunggu ketibaan askar AS untuk membakar mereka.
“Tembakan kami berterusan. Peluru berpandu kami sudah tersedia. Keazaman dan keimanan kami meningkat,” kata Ghalibaf kepada agensi berita rasmi IRNA.
Beliau menyifatkan pelan 15 perkara AS yang diserahkan oleh Pakistan kepada Iran minggu lepas sebagai ‘hajat mereka’ dan berkata, pentadbiran Presiden Donald Trump cuba melakukan melalui pelan itu apa yang gagal dicapai dengan kekerasan.
“Selagi Amerika menuntut Iran menyerah kalah, jawapan kami jelas. Kami tidak akan menerima penghinaan,” katanya.
Kenyataan tersebut hadir selepas sebulan perang serantau itu yang dicetuskan pada 28 Februari lalu apabila Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan udara ke atas Iran, membunuh pemimpin tertingginya dan mencetuskan konflik di seluruh Asia Barat.
Laluan perkapalan di Selat Hormuz yang menyalurkan 20 peratus bekalan minyak mentah dunia dan gas asli cecair pula telah terhenti hampir sepenuhnya akibat perang. – AGENSI














