“SAYA pada awalnya memilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang kejuruteraan kimia kerana minat yang mendalam terhadap subjek Kimia sejak di bangku sekolah.
“Namun begitu, bidang kejuruteraan kimia ternyata jauh lebih mencabar daripada jangkaan saya khususnya dari segi aplikasi konsep dan penyelesaian masalah yang kompleks.
“Pada masa sama, saya juga meminati bidang alam sekitar dan kualiti udara, jadi saya sambung pengajian dalam pengkhususan tersebut di peringkat sarjana serta doktor falsafah (PhD).”
Itulah jawapan Prof. Madya Ts Dr. Norazian Mohamed Noor, 45, tatkala ditanya mengenai faktor yang mendorongnya memilih bidang kejuruteraan kimia ketika melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia lebih dua dekad lalu, sebelum beralih kepada bidang alam sekitar dan kualiti udara.
Usai tamat pengajian ijazah sarjana muda, wanita berasal dari Mentakab, Pahang itu ditawarkan jawatan sebagai Pegawai Latihan Vokasional di Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) atau kini dikenali sebagai Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Pengalaman di UniMAP menjadi titik tolak kepada ibu tiga cahaya mata itu dalam bidang pendidikan dan latihan vokasional (TVET) sehingga berjaya meraih pelbagai kejayaan dalam lembaran kerjayanya sebagai pensyarah serta penyelidik.
Apabila ditawarkan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana, Norazian memilih untuk mengikuti bidang kejuruteraan alam sekitar.
Sewaktu pengajian di peringkat PhD pula, kualiti udara menjadi pilihan kerana bidang itu kurang diterokai dan bilangan pakar di Malaysia sangat terhad berbanding bidang air serta sisa pepejal domestik.
Kini, Norazian berkhidmat sebagai Profesor Madya di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam UniMAP sejak 2014 dengan menyumbang kepada pelbagai kejayaan, penciptaan inovasi serta kemenangan kepada universiti.
Pada hujung tahun lalu, Norazian telah melakar sejarah tersendiri apabila meraih Anugerah Emas Berganda di GlobalWIIN Summit & Awards 2025 di London, United Kingdom menerusi alat inovasi ramalan pintar kualiti udara semasa jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara.

ANUGERAH Emas Berganda pada GlobalWIIN merupakan salah satu pengiktirafan kepada inovasi yang bukan sahaja perlu memenuhi kriteria utama pertandingan. Malah, inovasi itu juga harus menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek penilaian seperti tahap inovasi, memberi impak kepada masyarakat, kebolehgunaan serta berpotensi untuk dikembangkan pada masa hadapan.
Ia merupakan antara pengiktirafan tertinggi yang diberikan dalam pertandingan tersebut, sekali gus menandakan bahawa inovasi dihasilkan berada pada tahap kompetitif di peringkat antarabangsa.
Ditanya mengenai perasaannya selepas meraih kemenangan tersebut, Norazian sejujurnya tidak pernah menyangka akan meraih anugerah tertinggi dalam GlobalWIIN Summit and Awards itu.
“Perasaan ketika itu sudah tentu amat bersyukur dan terharu kerana berpeluang bersaing di peringkat antarabangsa dengan pesaing hebat lain.
“Ia merupakan satu pengiktirafan besar terhadap usaha penyelidikan yang telah saya jalankan selama ini. Lebih membanggakan, anugerah tersebut menghimpunkan ramai penyelidik hebat dari lebih 30 negara yang masing-masing membawa kepakaran dan inovasi tersendiri.
“Proses pemilihan juga sangat teliti, di mana peserta perlu melalui sesi pitching (penerangan) bersama panel juri, sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Pengalaman tersebut bukan sahaja memberi pendedahan di peringkat antarabangsa, malah menjadi salah satu pencapaian yang bermakna dalam kerjaya saya sebagai penyelidik,” katanya.
Mengulas mengenai kriteria utama yang dinilai oleh pihak penganjur, Norazian memberitahu, ia mengambil kira tahap inovasi ditonjolkan, impak kepada masyarakat, kebolehgunaan teknologi serta potensi untuk dikomersialkan.

Katanya, setiap inovasi perlu menunjukkan keunikan, keberkesanan dalam menyelesaikan masalah sebenar, serta keupayaan untuk diperluaskan penggunaannya pada masa hadapan.
“Bagi penyertaan pula, anugerah ini berdasarkan pencalonan. Saya telah dicalonkan oleh seorang profesor di Universiti Sains Malaysia yang banyak memberi motivasi dan inspirasi sepanjang perjalanan akademik saya.
“Penyertaan dalam pertandingan ini merupakan salah satu platform untuk mengetengahkan hasil penyelidikan ke peringkat global.
“Di samping itu, pertandingan ini menilai kemampuan inovasi yang dibangunkan sama ada mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan industri atau tidak,” katanya.
Mengulas mengenai masa diambil bagi menyiapkan alat inovasi dikenali sebagai SmartHAZE: Real-time Forecasting and Early Warning System for Haze and Air Pollution Events itu, Norazian memberitahu, pembangunan inovasi itu bermula sejak tahun 2020.
Ujarnya, inovasi itu dihasilkan melalui projek di bawah Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) yang diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2020 dengan peruntukan sekitar RM62,000.
Jelasnya, projek tersebut memberi fokus kepada pembangunan model prediksi terbaik bagi meramalkan kualiti udara semasa cuaca ekstrem seperti jerebu.
Proses pembangunan formulasi model menggabungkan kaedah statistik dan kecerdasan buatan (AI) yang mengambil masa kira-kira tiga tahun termasuk proses pengesahan (validation).
“Seterusnya, idea ini diperluaskan kepada pembangunan sistem ramalan pintar berasaskan web yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa.
“Pembangunan sistem ini dijangka mengambil masa sekitar dua tahun. Inovasi ini dibuat berasaskan keperluan semasa kerana Malaysia masih belum mempunyai sistem ramalan kualiti udara yang komprehensif khususnya ketika jerebu, berbanding negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
“Menariknya, sistem ini juga berpotensi untuk digunakan di peringkat Asia Tenggara kerana persamaan dari segi iklim dan faktor persekitaran.
“Dari segi kos pula, pembangunan inovasi ini melibatkan dana penyelidikan dan pembangunan sistem selepas kejayaan di GlobalWIIN.
“Saya turut menerima geran Prototype Research Grant Scheme (PRGS) hampir RM190,000 daripada KPT untuk membangunkan sistem ini ke peringkat prototaip.
“Dari sudut impak, inovasi ini berpotensi besar membantu sektor kesihatan dan agensi kerajaan dalam membuat tindakan awal bagi melindungi kesihatan awam, khususnya semasa episod jerebu serta menyokong perancangan dasar dan pengurusan risiko,” tuturnya.
Tambahnya, inovasi yang dibangunkan itu merupakan gabungan antara model statistik dan AI bagi meramalkan kepekatan bahan pencemar udara secara lebih tepat.
Secara khusus, model itu mampu meramalkan kepekatan zarah terampai (PM) yang merupakan pencemar utama semasa jerebu untuk tiga hari lebih awal dengan tahap ketepatan melebihi 80 peratus.
“Model ini dibangunkan menggunakan data sejarah pencemaran udara termasuk parameter seperti karbon monoksida, ozon, sulfur dioksida serta faktor meteorologi seperti suhu, kelembapan relatif, kelajuan angin dan radiasi ultra ungu.
“Keunikan penggunaan AI dalam model ini adalah keupayaannya mengenal pasti parameter paling signifikan mengikut lokasi tertentu, sekali gus meningkatkan ketepatan ramalan bagi setiap kawasan.
“Selain itu, model statistik yang dibangunkan ini juga telah dipatenkan termasuk model ramalan ozon hasil penyelidikan terdahulu.
“Dengan ketepatan melebihi 80 peratus bagi ramalan selama tiga hari, sistem ini berpotensi besar membantu pihak berkuasa membuat perancangan awal bagi memperkukuh strategi kawalan serta mitigasi pencemaran udara,” katanya.
Sementara itu, bercerita mengenai isu jerebu di negara ini, wanita yang suka dan obses dengan penjagaan kulit muka tersebut memberitahu, jerebu di Malaysia berlaku hampir setiap tahun, terutamanya ketika Monsun Barat Daya antara Jun hingga September yang membawa cuaca lebih panas dan kering di Asia Tenggara.
Secara umumnya, jerebu boleh berpunca dari faktor dalaman atau rentas sempadan. Namun bagi kes di Malaysia, jerebu rentas sempadan sering menjadi penyumbang utama.
“Sebagai penyelidik, saya melihat faktor paling dominan adalah aktiviti manusia atau faktor antropogenik seperti pembakaran terbuka dan kebakaran hutan, khususnya di negara jiran.
“Namun begitu, masalah jerebu akan menjadi lebih serius disebabkan pengaruh faktor meteorologi. Antara aspek yang memainkan peranan penting termasuklah suhu tinggi, kelembapan relatif tinggi serta keadaan angin lemah sehingga menyebabkan bahan pencemaran terperangkap di atmosfera,” katanya.
Mengakhiri bicara, Norazian menegaskan bahawa TVET memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan negara kerana bidang itu melahirkan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri berkaitan teknologi dan kejuruteraan.
UniMAP sendiri merupakan antara institusi yang memberi penekanan kuat kepada pendidikan berteraskan TVET menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih praktikal dengan berasaskan industri dan berorientasikan penyelesaian masalah.
“Penerimaan terhadap TVET dalam kalangan belia juga semakin meningkat. Ramai mula melihat bahawa bidang ini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya satu laluan yang mampu menjamin kerjaya stabil dan relevan dengan keperluan semasa.
“Ini dapat dilihat melalui peningkatan minat pelajar dalam bidang teknikal serta penglibatan aktif industri bagi pembangunan kurikulum dan latihan.
“Dalam konteks inovasi yang saya bangunkan, ia juga selari dengan aspirasi TVET yang menekankan aplikasi ilmu kepada penyelesaian masalah sebenar.
“Sistem ramalan pintar kualiti udara yang dibangunkan ini bukan sahaja berasaskan teori, bahkan boleh terus digunakan oleh pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan dan sektor kesihatan.
“Ini menunjukkan bahawa gabungan TVET dan penyelidikan mampu menghasilkan inovasi berimpak tinggi yang memberi manfaat terus kepada negara,” tutupnya.














