PETALING JAYA – Kerajaan akan terus melindungi rakyat dan memastikan kestabilan harga barangan meskipun berlaku lonjakan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook, Kementerian Kewangan (MOF) berkata, langkah itu akan dilaksanakan melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Jelas MOF, sistem kawalan itu melibatkan, subsidi bahan api bagi sektor pengangkutan darat dan air awam serta pengangkutan barangan tertentu.
“Langkah ini membantu agar kos pengangkutan terkawal dan harga barangan kekal stabil.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan global dan mengambil pendekatan berhemah demi melindungi kesejahteraan rakyat,”kata MOF.
Menerusi hantaran itu juga, MOF turut berkongsi infografik yang menunjukkan harga runcit petrol bersubsidi di bawah SKPS bagi sektor pengangkutan darat dan air awam serta pengangkutan darat barangan dikekalkan pada RM2.05 seliter.
Sementara itu, bagi SKDS, harga runcit diesel bersubsidi bagi sektor pengangkutan darat awam kekal pada RM1.88 seliter manakala bagi sektor pengangkutan darat barangan dikekalkan pada RM2.15 seliter.-KOSMO! ONLINE














