MELANGKAH masuk ke IOI City Mall di Putrajaya, pengunjung seolah-olah dibawa menelusuri dunia batik yang penuh warna dan cerita.
Sebuah replika ala-ala rumah kampung Melayu di aras LG East Wing pusat beli-belah tersebut dihiasi dengan batik hasil tangan artis batik kontemporari dan pengasas Novak Batik, Farah Mohan.
Bertema ‘Meriah Aidilfitri’, dekorasi yang diinspirasikan daripada motif tradisional tetapi ditafsir secara moden itu mencipta pengalaman visual yang bukan sahaja memukau, malah sarat dengan nilai budaya dan makna.
Menurut Farah, karya terbesar yang dihasilkannya setakat ini mengambil masa sekitar tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.
“Proses dimulakan dengan fasa digital sebelum diteruskan kepada penghasilan fizikal. Dalam tempoh tersebut, pasukan produksi berusaha mempercepat kerja bagi memenuhi keperluan musim perayaan yang padat.
“Selepas itu, penghasilan karya diteruskan secara manual sepenuhnya, termasuk proses lukisan tangan pada kain bagi memastikan setiap hasil mengekalkan keaslian dan ketelitian seni batik,” katanya.
Reka bentuk menggabungkan elemen flora seperti orkid dengan gaya kontemporari, di samping mengekalkan konsep kampung dalam persembahan yang lebih moden dan berwarna-warni.
Pemilihan warna seperti hijau dan kuning digunakan bagi menggantikan tona gelap, manakala corak serta elemen bulatan menjadi ciri utama dalam karya.

Sebanyak 12 lukisan dihasilkan secara manual bagi mewakili 12 negeri dan diletakkan di sekeliling rumah tersebut.
Antaranya ialah wanita memakai telepok yang melambangkan Kedah, harimau Malaya melambangkan Pahang, bunga Rafflesia bagi Sabah dan wanita yang memakai tengkuluk tanduk mewakili Negeri Sembilan.
Kesemua karya menggunakan kain dan teknik dua lapisan dengan variasi saiz mengikut keperluan pameran.
Penghasilan karya menggunakan teknik canting tradisional yang digabungkan dengan pendekatan moden seperti pencetakan digital.
Terdapat karya yang menggambarkan perjalanan keluar dari zon selesa di satu sudut berasingan melalui penggunaan simbolik dalam penceritaan visual.
Tema kesihatan mental wanita turut diketengahkan dalam beberapa karya bagi memberi kesedaran terhadap isu emosi dan pengalaman hidup.
Inspirasi juga diperoleh daripada cerita rakyat seperti Batu Belah Batu Bertangkup yang diolah semula dalam bentuk visual yang lebih kontemporari.

Kongsi Farah, pameran yang diadakan berjaya mewujudkan suasana raya yang meriah dan ceria untuk pengunjung serta keluarga.
“Karya-karya dipersembahkan tanpa penerangan terperinci bagi memberi ruang kepada penonton untuk mentafsir sendiri makna di sebalik setiap hasil seni.
“Ini membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap batik sebagai satu bentuk seni yang lebih kreatif dan kontemporari,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar IOI City Mall, Putrajaya, Wilfred Wong berkata, sambutan ini mencerminkan komitmen pusat beli-belah tersebut dalam menampilkan warisan budaya Malaysia sambil mencipta pengalaman perayaan yang menarik untuk para pengunjung.
“Meriah Aidilfitri adalah tentang meraikan kehangatan dan kebersamaan yang menjadi inti pati musim hari raya.
“Menerusi dekorasi bertemakan batik serta pelbagai aktiviti kebudayaan di seluruh pusat beli-belah, kami berharap para pengunjung dapat merasai suasana perayaan yang menonjolkan keindahan tradisi Malaysia sambil menghimpunkan keluarga dan komuniti bersama-sama,” katanya.














