fbpx
BELLA Astillah sewaktu disarungkan cincin pertunangan oleh ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.

Bella, Saddiq selangkah ke gerbang perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selepas lebih dua bulan dilamar, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah kini bergelar tunang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman pada majlis yang berlangsung di Bamboo Hills, Hulu Kelang, pukul 3.35 petang tadi.

Syed Saddiq berkata, ikatan antara mereka berdua tercetus atas kasih sayang terhadap permata hati Bella, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang diharap dapat menerima kehadirannya.

“Saya mencintai Bella juga kerana kedua-dua anaknya, Ayden dan Ara. Mereka sangat istimewa dan saya harap mereka berdua boleh menerima saya.

“Mereka berdua merupakan kanak-kanak yang hebat dan Alhamdulillah semua itu datang dari didikan ibunya sama seperti kebaikan yang saya ada datang dari kedua ibu bapa saya,” katanya dalam ucapan selepas upacara menyarung cincin.

Pada masa sama, Syed Saddiq turut memuji keluarga bakal mentua termasuk adik Bella, Didi Astillah yang sentiasa menjadi tulang belakang wanita terbabit.

“Kepada ayah dan mama yang sentiasa bekerja keras dan berada di sisi Bella. Terima kasih Didi kerana sangat baik, banyak rahsia Bella yang saya terlepas dia kongsikan.

“Saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian dari keluarga ini,” ujarnya lagi.

Sebelum itu, tepat pukul 3.30 petang, Bella atau nama lengkapnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, turun ke pelamin kecil tampil anggun menggayakan baju kurung rona hijau lembut lengkap berselendang.

Lima minit kemudian, ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz duduk di sisi bakal menantunya bagi menyarungkan cincin.

Lebih manis apabila wanita terbabit terlebih dulu mengucup cincin tanda itu sebelum menyarungkan barang kemas tersebut ke jari manis Bella.

Syed Saddiq yang hadir membawa jambangan bunga kepada bakal isterinya pula muncul segak berbaju Melayu rona sama lengkap bersamping dan bersongkok.

“Doakan dilancarkan urusan kami. Bermula pertunangan ini dan berakhir dengan kami mendirikan masjid,” katanya lagi dalam ucapan penutup.

Biarpun tidak mendedahkan butiran berkaitan tarikh pernikahan mahupun resepsi, ahli politik itu memberi bayangan hari bersejarah mereka akan berlangsung tahun ini.

Bahkan menurut sumber, kedua-dua keluarga sudah rancak membuat persediaan untuk hari bahagia mereka nanti termasuk menempah venue acara.

Sementara itu, Bella juga tampak sebak sebaik mendengar ucapan bakal suaminya sehingga turut menitiskan air mata.

Bakal pengantin terbabit bertukar hantaran iaitu lima dulang berbalas tujuh daripada Bella yang juga berkonsepkan Gunung Kinabalu simbolik tempat Syed Saddiq melamarnya pada Januari lalu.

Syed Saddiq pula turut menyerahkan Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk anak Bella, Ayden dan Ara, sebagai simbol kasih serta keprihatinan beliau terhadap masa depan mereka.

Terdahulu, pasangan yang mula intim sejak awal tahun 2025 itu diraikan sekitar 150 tetamu termasuk selebriti yang hadir berbaju tradisional mengikut tema warna kuning.

Antara yang hadir ialah Fazura, Nora Danish, Elly Suriati, Nabil Ahmad, A Aida, Che Puan Syamim Farid, Betty Rahmat, Harris Baba dan ramai lagi.

Seawal pukul 2 petang lagi ruang acara dikelilingi pepohon hijau serta air terjun buatan itu didatangi jemputan yang teruja berkongsi kegembiraan selangkah ke gerbang perkahwinan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN