PETALING JAYA – Usahawan juga personaliti media sosial, Datuk Red terharu bercampur sebak menerima kejutan daripada anak-anak sempena ulang tahun kelahirannya, kelmarin.
Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu, 48, mengakui tahun ini menjadi detik paling sukar sehingga memilih untuk menyendiri kerana takut berdepan emosi sendiri.
“Terima kasih anak-anak papa. Tahun ini papa paling takut dengan hari lahir sendiri sampai papa bawa diri menyorok.
“Papa tidak mengharapkan ucapan, tetapi malam tadi kamu semua hadir. Itu sudah cukup membuatkan papa sangat terharu.
“Bukan kek atau makanan menjadi ukuran, kehadiran kamu semua sudah cukup menggembirakan papa,” katanya dalam TikTok.
Berpijak pada bumi yang nyata, bekas suami kepada penyanyi Adira itu turut mengakui kelemahan diri sebagai seorang bapa, selain memohon pengertian daripada anak-anaknya.
“Nak, papa ini insan gagal menjadi bapa. Papa tidak mampu beri kemewahan dan gagal satukan kamu semua di bawah satu bumbung.
“Namun papa sentiasa perhati dari jauh. Hati papa terusik bila lihat kamu dipeluk orang lain, tetapi papa reda.
“Walau apa pun, kasih sayang papa tidak pernah berubah,” luahnya.
Paling penting kata Adnan, meskipun keadaan kini sangat berbeza, dia mahu anak-anak sentiasa menghormati serta menyayangi ibu masing-masing.
“Ingat pesan papa, sayang dan hormati ibu kamu semua. Jika ibu bahagia, kamu juga perlu bahagia.
“Papa sentiasa ada. Jika tiada jodoh, papa mampu hidup sendiri kerana papa ada tujuan lain dalam hidup.
“Ingat anak-anak, bila dewasa nanti jangan malu untuk datang dan cium tangan papa. Papa sayang kamu semua,” tuturnya.
Untuk rekod, Adira berkahwin dengan Datuk Red pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum berpisah pada 24 April tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 8, Asan, 7, Anggun, 6 dan Ayob, 4.
Sebelum itu, rumah tangga Datuk Red bersama isteri pertama, Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim turut berakhir dengan perceraian pada 13 Mei tahun lalu dan mereka mempunyai lima orang anak.
Usahawan tersebut juga pernah mendirikan rumah tangga pada usia 20 tahun, namun perkahwinan itu berakhir selepas lima tahun dengan dua cahaya mata. – KOSMO! ONLINE.














