PETALING JAYA – Rata-rata penduduk Lembah Klang merayu pengusaha gerai makanan yang berasal dari Pantai Timur untuk pulang segera ke ibu kota.
Ini kerana mereka mendakwa sudah ‘penat’ untuk menjamu selera di restoran mamak yang menyajikan masakan berasaskan kari.
Rayuan tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna dikenali sebagai D.d6695 di aplikasi Threads yang mahu kedai makan masakan Melayu dan tomyam segera dibuka.
“Kepada orang Kelantan yang balik beraya, sudah-sudahlah beraya. Tolonglah balik ke sini Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.
“Minggu ini aku dah penat makan mamak empat hari tau tak? Aku penat nak makan roti telur nasi goreng mamak, nasi kari campur. Tolonglah balik, saya perlukan makanan Melayu,” luahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi masalah sama iaitu merindui masakan Melayu selepas puas berhari raya.
“Semalam aku balik dari hospital nak makan mi, ada nasi campur saja. Aku tanya mana menu lain mereka kata semua (tukang masak) cuti lagi. Minggu depan baru ada aku layan laksam saja,” balas Mid_73.
Turut meninggalkan komen seorang lagi pengguna dikenali sebagai Wnsazam.
“Kalau nak makan masakan Pantai Timur macam nasi dagang, nasi kerabu, boleh pergi dekat Seri Dagang Neocyber. Katanya dah start (mula) buka,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE














