KLANG – Tindakan memandu laju dipercayai punca haulier dan muatan kontena tertanggal dari sebuah treler di Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati treler berkenaan dipandu laju sebelum haulier dan kontena tertanggal daripada kepala treler lalu terjatuh ke laluan bawah.
“Pemandu lain sempat memberhentikan kenderaan dan mengelak pelanggaran. Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan kenderaan lain dilaporkan,” katanya hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Syahid Salahudin di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














