fbpx
Tiga penghuni rumah kebajikan Pintas sudah bertaubat daripada aktiviti seks songsang selepas dijangkiti HIV dan dibuang keluarga sendiri.

‘Masa tu saya tergoda lihat lelaki’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Tiga lelaki yang terjebak dengan seks songsang kini bertaubat selepas mendapati nafsu sesama jenis itu bukan sahaja tidak membawa sebarang kebaikan, malah menyebabkan mereka dijangkiti HIV hingga di­buang keluarga dan ber­depan kesukaran dalam kehidupan.

Walaupun sesat di usia muda, namun keinsafan membawa me­reka mendapatkan rawatan di rumah perlindungan Pertubuhan Insan Permata Disayangi (Pintas) untuk berubah selain memulakan hidup baharu sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

Mad, 57, berkata, dia cuba memperbaiki diri sejak tiga tahun lalu di Pintas dan Ramadan benar-benar membuka peluang kepadanya untuk bermuhasabah untuk menjadi lebih tenang pada Syawal.

“Ketika muda, saya tertarik kepada lelaki hingga mempunyai lebih 10 kekasih kaum sejenis. Ketika bekerja kilang di Singapura, saya berkenalan dengan seorang lelaki lalu bercinta selama setahun.

“Bila balik Malaysia, saya ma­kin bebas dan hanyut hingga pernah mempunyai lebih 10 kekasih lelaki. Setiap fasa hidup saya ada pasangan dan tak fikir langsung pada dosa atau masa depan,” kata anak keenam daripada 14 beradik itu.

Menurut Mad, dia menukar agama daripada Kristian kepada Islam pada usia 40 tahun selepas diperkenalkan oleh salah seorang kekasihnya. Tiga lagi adik-beradiknya turut memeluk Islam dan berkeluarga.

Tambahnya, ujian besar me­nimpanya pada 2021 apabila keluarganya mengetahui dia menghidap HIV sebelum diminta meninggalkan rumah.

“Saya pernah tinggal dengan ibu dan adik selama dua tahun. Tapi selepas mereka tahu penya­kit saya, saya diminta keluar. Waktu itu saya rasa hidup saya seperti sudah tiada harapan,” katanya.

Mad kemudian menumpang di sebuah rumah perlindungan NGO Islam sebelum ditempatkan di Pintas.

Katanya, Aidilfitri kali ini di­sambut secara sederhana bersama penghuni lain, namun sarat dengan doa dan keinsafan.

“Saya pegang satu prinsip, ­Allah tidak melihat bagaimana permulaan hidup seseorang, tetapi bagaimana pengakhirannya. Syawal ini, saya harap menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Dee, 43, pula berkata, kehidupan di Pintas sejak dua tahun lalu menyesal atas perbuatannya dan kini kerap bersolat serta memohon ampun.

“Semuanya berubah selepas saya diserang strok dan terlantar hampir setahun di sebuah hospital di Pulau Pinang. Mungkin ini peluang baharu diberikan Allah kepada saya.

“Kini saya lebih muhasabah diri. Saya banyak solat dan berdoa, mohon ampun. Saya cuma nak habiskan sisa hidup dengan cara yang lebih baik,” kata lelaki berasal dari Sabah itu.

Menurut Dee, dia mula me­lakukan hubungan sejenis ketika berusia 15 tahun hingga mem­bela ‘anak ikan’ selama dua tahun ketika dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Pulau Pinang hingga dijangkiti HIV.

Tambahnya, ia mungkin teguran daripada Allah supaya dia sedar dan kembali kepada jalan yang betul dan berubah.

Berbeza pula bagi, Q, 20, yang kisah hidupnya penuh luka apabila menjadi mangsa serangan seksual oleh bapa saudaranya sehingga dijangkiti HIV.

Dia yang merupakan orang kurang upaya lembam berkata, kejadian berlaku ketika dia tinggal bersama nenek selepas ibu bapanya bercerai.

“Saya sukar membuang air besar dan nenek membawa ke klinik sebelum hasil ujian mendapati saya diliwat. Nenek terkejut dan laporan polis dibuat sebelum bapa saudara ditangkap dan dipenjara,” katanya.

Selepas itu, Q ditempatkan di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum dibawa ke Pintas ketika usia­nya melebihi 18 tahun susulan nalurinya lebih kepada lelaki.

“Di Pintas saya belajar erti hidup, peluang kedua Allah beri. Walaupun telah lalui hidup sukar, namun saya tidak mahu berdendam. Saya maafkan bapa saudara sebab dia pun sudah tiada,” katanya.“

Dia berharap dapat bertemu semula tiga adik-beradik lain di Aidilfitri ini selepas kesemuanya dibawa ayah setelah bercerai dengan ibunya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN