fbpx
Chegubard dan Nik Nazmi (kanan).

Saman Fitnah: Nik Nazmi, Chegubard berbincang selesai kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard masih lagi berbincang untuk menyelesaikan kes saman fitnah berkait projek Racangan Tebatan Banjir (RTB).

Peguam Yiow Ern Syenn yang mewakili Nik Nazmi selaku plaintif memaklumkan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong bahawa beberapa terma dan syarat penyelesaian telah dipersetujui oleh Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin.

“Kami (Plaintif) telah menghantar surat kepada defendan pada 25 Februari lalu yang menyatakan terma dan syarat penyelesaian. Kami telah menerima surat balasan pada pagi ini dan defendan telah bersetuju hampir kesemua terma dan syarat penyelesaian yang dinyatakan kecuali berhubung jumlah ganti rugi.

“Kami telah berhubung dengan defendan dan mereka memohon lebih masa untuk berbincang mengenai jumlah ganti rugi,” kata peguam itu yang turut menyebut bagi pihak Chegubard.

Tambah peguam tersebut, pihak-pihak telah bersetuju untuk meneruskan perbicaraan kes itu yang ditetapkan pada bulan Mei sekiranya tiada penyelesaian muktamad dicapai.

“Sekiranya pihak-pihak telah berjaya mencapai penyelesaian sebelum perbicaraan bermula, sila maklumkan kepada mahkamah supaya saya boleh tetapkan tarikh awal untuk rekodkan penyelesaian. Sekiranya tidak berjaya, perbicaraan akan diteruskan pada 4 Mei ini dan tiada penangguhan akan diberikan kerana kes telah berlanjutan sejak Januari 2024,”ujar Techiong.

Menurut saman yang difailkan pada 15 Januari 2024, Nik Nazmi mendakwa Chegubard telah memuat naik lima hantaran mengandungi kenyataan berbaur fitnah di laman Facebook miliknya atas nama “Che GuBard (che’GuBard) di antara 20 dan 29 Disember 2023.

Kenyataan fitnah itu mendakwa plaintif kononnya telah berbohong apabila Nik Nazmi menyatakan bahawa sememangnya terdapat tender terbuka di dalam proses pemerolehan projek RBT yang mana telah dibuat melalui rundingan terus.

“Defendan mendakwa kononnya (plaintif) seorang ahli politik yang terjebak dalam kegiatan rasuah atau seorang yang tidak boleh dipercayai serta seorang ahli politik yang tidak jujur dan terlibat dalam urus niaga yang tidak telus,”kata plaintif dalam tuntutannya.

Nik Nazmi mendakwa defendan telah berniat jahat dalam menyiarkan kenyataan-kenyataan untuk mencemar atau memburuk-burukkan kewibawaan dan imej plaintif sebagai seorang ahli politik yang mengakibatkan beliau terpaksa berhadapan dengan kecaman dan perasaan syak wasangka di kalangan orang awam dan penduduk di kawasan parlimen beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN