PEMANAH compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh mempamerkan aksi terbaiknya musim ini apabila berjaya menempah dua tiket final di Kejohanan Memanah Piala Asia 2026 (Peringkat 1) di Bangkok, Thailand.
Kecemerlangan Fatin bermula dalam acara berpasukan compound campuran apabila dia yang bergandingan dengan jaguh senior, Mohd. Juwaidi Marzuki menewaskan pemanah Singapura pada aksi separuh akhir semalam.
Pasangan negara itu menggunakan pengalaman untuk mengatasi pemanah Singapura, Madeleine Ong Xue Li-Erwan Zulfaqar Salamat dengan keputusan 154-152.
Menanti mereka di pentas final hari ini adalah pilihan pertama dari India, Chikitha Taniparthi-Rajat Chauhan.
Mengulas mengenai persediaan mentalnya, Fatin menegaskan dia enggan meletakkan tekanan yang terlalu tinggi, sebaliknya mahu fokus kepada kualiti panahannya.
“Untuk final ini, saya tidak mahu letakkan tekanan kepada diri sendiri, sebaliknya hanya mahu memberikan yang terbaik dahulu.
“Berjaya melangkah ke final pun saya sudah cukup gembira memandangkan sudah agak lama saya tidak mara ke perlawanan akhir bagi acara individu,” katanya.
Selain faktor lawan, Fatin mengakui keadaan cuaca angin di Bangkok turut memberi cabaran besar kepada semua peserta.
“Keadaan angin di sini agak kuat dan sukar diramal. Sebagai pemanah, itu adalah cabaran perlu dihadapi dan saya perlu lakukan pelarasan atau perubahan dengan cepat ketika melepaskan anak panah,” tambahnya.
Pada final individu wanita hari ini, Fatin dijadualkan bertemu pemanah kelahiran Rusia, Arina Cherkezova dan kali pertama berdepan pemanah muda berusia 21 tahun tersebut.
Terdahulu, Fatin menyifatkan kejayaan ini sebagai ‘rezeki Syawal’ selepas sasaran asalnya hanya tertumpu kepada acara berpasukan dan mahu ingin memulihkan semula keyakinan diri selepas musim lalu yang kurang memberangsangkan.
Sebagai rekod, Fatin bersama pasukan compound wanita negara telah pun menyumbang pingat pertama buat kem Malaysia dengan meraih pingat gangsa selepas menundukkan tuan rumah, Thailand, menerusi penentuan shoot-off kelmarin.














