PETALING JAYA – Selepas sembilan hari, seorang kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) yang dilaporkan hilang sejak 17 Mac lalu di Sungai Ulu Temburong, Lawas, Sarawak akhirnya ditemukan semalam.
Mayat mendiang Donysius Gebrial Goh yang bertugas di Bahagian Pemetaan Topografi Jupem Sarawak dijumpai di sungai kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir lelaki itu hilang.
Perkembangan terbaharu kes itu dimaklumkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang berduka cita atas kehilangan seorang pegawai yang berdedikasi.
“Mendiang merupakan Pembantu Khidmat Am H1 di Pejabat Topografi Wilayah Miri menunjukkan pengorbanan besar demi negara ketika melaksanakan tugasan rasmi penandaan dan pengukuran sempadan darat antarabangsa antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
“Bagi pihak NRES dan seluruh warga Jupem saya menzahirkan ucapan takziah kepada isteri dan dua anak mendiang yang berusia 10 dan 12 tahun.
“Kehilangan ini amat meruntun jiwa kerana mendiang sedang berkhidmat dalam operasi mencabar demi kedaulatan tanah air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, NRES akan memastikan segala bantuan dan sokongan moral diselaraskan sebaik mungkin bagi membantu keluarga mendiang mengharungi saat yang sukar ini.
Penghargaan turut diberikan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Brunei Darussalam, Tentera Darat Diraja Brunei dan Tentera Gurkha atas bantuan keanggotaan tambahan yang diberikan.
“Saya turut menghargai sokongan Tentera Udara Diraja Brunei yang menyediakan helikopter bagi mengeluarkan mayat dari kawasan yang sukar diakses selain bantuan Polis Brunei dan Hospital Ripas Bandar Seri Begawan yang membantu proses forensik dan bedah siasat,” katanya.
Pada 20 Mac lalu, Kosmo! melaporkan operasi SAR mencari petugas Jupem yang hilang sejak 17 Mac lalu di Sungai Ulu Temburong belum diaktifkan kerana lokasi kejadian berada dalam wilayah Brunei.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, sebarang operasi tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa negara itu.
Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat Lawas digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan pada pukul 10.10 malam, 17 Mac lalu.
Mangsa bersama lima lagi petugas Jupem bergerak dari kem asas ke kawasan sungai sebelum arus menjadi deras.
Mangsa dipercayai dihanyutkan ketika cuba menyeberangi sungai untuk ke lokasi perkhemahan. Lima lagi petugas Julem bagaimanapun sempat menyelamatkan diri. – KOSMO! ONLINE














