fbpx
Tangkap layar video Dr. Mahathir kembali ke pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini selepas kira-kira tiga bulan menjalani pemulihan kesihatan.

[VIDEO] ‘Bila ada hari rasa malas, ingatlah betapa rajinnya Tun M’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali ke pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, Putrajaya hari ini selepas menjalani rawatan pemulihan kesihatan susulan mengalami kecederaan patah pinggul sejak awal tahun ini.

Menerusi hantaran video pada media sosial beliau memperlihatkan, Dr. Mahathir tiba di pejabatnya diiringi beberapa pegawai yang membantu beliau melakukan tugas hakiki di pejabat.

“Selagi boleh,” menurut kapsyen ringkas pada video berkenaan.
Hantaran video berkenaan mendapat pelbagai maklum balas rakyat Malaysia yang kagum dengan beliau kerana masih kuat bekerja biarpun mencecah usia 100 tahun, sekali gus memberi inspirasi kepada mereka.

“Bila ada hari rasa malas, teringat betapa rajinnya Tun walaupun Tun boleh duduk relaks, menikmati hari tua. Tun adalah inspirasi sebenar, ‘dunia untuk berpenat, akhirat tempat berehat’. Moga Allah sentiasa rahmati Tun berdua dengan kesihatan yang baik,” komen pengguna Instagram Zue.

“Saya mungkin tidak sentiasa bersetuju dengan apa yang beliau katakan dan lakukan. Namun, tidak dapat dinafikan kecekalan dan kekuatan dirinya dalam melakukan apa yang beliau mahu lakukan. Tabik,” kata Allison Por Li Fang.

“Selagi boleh, frasa muhasabah kepada kita generasi penyambung,” kata Ahmad Zulqurnain Ghazalli.

Pada awal tahun ini, Dr. Mahathir disahkan mengalami keretakan pada bahagian pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya sebelum dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) dalam keadaan sedar.

Bagaimanapun, beliau dinasihati pakar perubatan untuk tidak menjalani pembedahan pinggul, selain pemeriksaan di IJN mendapati faktor usia Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh yang sudah 100 tahun itu menyebabkan pembedahan bukan pilihan terbaik.

Dr. Mahathir kemudian menjalani rawatan pemulihan bertujuan memastikan beliau kembali sihat seperti sediakala dan meneruskan tugasan seperti yang dilakukan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN