fbpx
GANDINGAN Izzah, Anis Amira dan Alyssa memastikan pingat perak acara pecut berpasukan wanita kekal menjadi milik Malaysia selain berjaya memperbaharui rekod kebangsaan.

ACC2026: Trio wanita pertahan perak, pecah rekod kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Skuad berbasikal trek kebangsaan memastikan satu pingat menjadi milik Malaysia pada hari pertama Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina selepas muncul naib juara acara pecut berpasukan elit wanita.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan gandingan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Mohd. Farid mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada edisi tahun lalu di Nilai, Negeri Sembilan.

Pada aksi penentuan pingat emas di Velodrom Tagaytay City sebentar tadi, Malaysia melakukan catatan masa 48.652 saat (s), dibezakan 1.846s dengan pasukan pilihan, China yang melintasi garisan penamat menerusi catatan 46.806s untuk menjadi juara.

Meskipun tidak merangkul pingat emas, namun trio negara tetap melakar pencapaian membanggakan apabila memperbaharui rekod kebangsaan menerusi catatan 48.086s di pusingan pertama, mengatasi catatan 48.458s yang dilakukan tahun lalu.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa skuad pecut berpasukan elit lelaki negara apabila terpaksa akur sekadar menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas kepada Hong Kong pada aksi penentuan pingat gangsa.

Gandingan Muhammad Ridwan Sahrom, Mohd. Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Fadhil Mohd. Zonis gagal mempertahankan gangsa yang dimenangi tahun lalu selepas melakukan catatan masa 44.406s berbanding Hong Kong dengan 43.741s.

Biarpun begitu, mereka berjaya memperbaharui rekod kebangsaan menerusi catatan 43.596s ketika aksi pusingan pertama, mengatasi catatan lama 43.934s yang dilakukan Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil pada Sukan Asia Jakarta 2018.

Pada masa sama, trio Davia Evriel Erian Azif, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dan Sawda Hasbullah memastikan gangsa menjadi milik Malaysia menerusi acara pecut berpasukan remaja wanita.

Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat itu, pasukan negara mempamerkan kayuhan bertenaga bagi mengetepikan cabaran Taiwan selepas melintasi garisan penamat menerusi catatan masa 52.835s. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN