ORLANDO – Bintang kelahiran Perancis, Antoine Griezmann bakal memulakan cabaran baharu dalam kariernya apabila sah menyertai Orlando City secara percuma selepas kontrak bersama Atletico Madrid berakhir musim ini.
Menurut kenyataan kelab Liga Major Amerika Syarikat (AS) itu, penyerang berusia 35 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pilihan lanjutan sehingga penghujung musim 2029.
Griezmann yang berusia 35 tahun mengakui teruja dengan keputusan untuk berkelana ke bumi Amerika meskipun masih mempamerkan sentuhan berbisa apabila merekodkan 13 gol pada musim ini.
“Saya tidak sabar untuk menjadikan Orlando sebagai rumah baharu, bertemu penyokong, merasai atmosfera di stadium utama pasukan.
“Saya harap memberikan segala-galanya untuk membantu pasukan mencapai kejayaan,” katanya.
Griezmann yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Atletico meninggalkan kelab Sepanyol itu selepas mencipta karier gemilang bersama beberapa kelab elit Eropah termasuk Barcelona dan Real Sociedad.
Sepanjang karier profesionalnya, Griezmann telah menjaringkan 298 gol serta mencatat 132 bantuan jaringan dalam 792 penampilan bersama tiga kelab berpengaruh La Liga itu.
Di pentas antarabangsa, Griezmann telah membuat 137 penampilan dan menjaringkan 44 gol buat skuad Les Bleus dan membantu pasukan menjuarai Piala Dunia edisi 2018 sebelum bersara pada 2024. – AGENSI














