MADRID – Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone mengakui Arsenal tidak layak untuk diberikan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad The Gunners diberikan sepakan penalti apabila Viktor Gyokeres dijatuhkan oleh David Hancko dengan penyerang antarabangsa Sweden itu berjaya menyudahkan peluang untuk memberi jaringan penting buat pasukan pelawat.
Bagaimanapun, Simeone mempertikaikan keputusan tersebut dengan menyifatkan terjahan Hancko adalah normal dan tidak wajar diberikan sepakan penalti terutama dalam saingan separuh akhir UCL.
“Pada pandangan saya, memang ada sentuhan dari belakang, tetapi Gyokeres sengaja menjatuhkan diri. Dalam aksi separuh akhir UCL, setiap penalti perlu diberikan jika ada terjahan yang keras.
“Secara keseluruhan, saya anggap ini keputusan yang adil dan tidak anggap kami bernasib baik. Hanya pada separuh masa pertama agak seimbang, mungkin mereka lebih menguasai bola tetapi tidak banyak mencipta peluang,” katanya.
Sementara itu, kapten Atletico, Koke mengakui pasukannya terlepas peluang untuk mencatat kemenangan penting selepas mensiakan banyak peluang keemasan pada babak kedua.
“Kami sudah beri yang terbaik. Kami bermula agak perlahan, tetapi bangkit untuk mencipta peluang untuk menang. Namun, semuanya akan ditentukan pada aksi kedua nanti,” katanya. – AGENSI














