HONG KONG – Sebuah unit kediaman di Telford Gardens, Kowloon Bay yang digelar ‘rumah paling berhantu’ akan dilelong lewat hari ini dengan harga permulaan berjumlah HK$2.3 juta (RM1.1 juta) atau melebihi 50 peratus lebih rendah daripada nilai pasaran, lapor akhbar The Standard.
Pemiliknya membeli pangsapuri seluas 51. 6 meter persegi (556 kaki persegi) itu pada harga HK$1.1 juta (RM555,748) pada tahun 2007 dan kini menyewakannya dengan bayaran HK$11,000 (RM5,557) sebulan.
Setelah gagal menjual kediaman tersebut tahun lalu dengan tawaran harga HK$4.98 juta (RM2.5 juta), pemiliknya merancang untuk melelong hartanah itu bersama perjanjian penyewaan.
‘Rumah berhantu’ itu menjadi lokasi kes pembunuhan pada 1998, di mana pakar feng shui dikenali sebagai Lee meracuni lima wanita demi keuntungan kewangan, dengan memberi mereka minum air dicampur racun sianida.
Walaupun hartanah yang mempunyai latar belakang pembunuhan di Hong Kong secara purata dijual antara 40 hingga 50 peratus lebih rendah berbanding nilai pasaran, pemiliknya masih boleh membuat keuntungan.
Sebagai contoh, sebuah unit kediaman seluas 83.4 meter persegi di Starcrest, Wan Chai yang menjadi lokasi pembunuhan seorang ibu pada 2008, telah dijual dua tahun kemudian pada harga HK$11 juta (RM5.5 juta).
Setelah memegang hartanah itu selama sedekad, pemilik menjualnya semula dalam tahun 2020 dengan harga HK$20 juta (RM10.1 juta) dan memperoleh untung atas kertas sebanyak HK$9 juta (RM4.5 juta). – AGENSI














