PERTAMA kali menjadi pendukung utama menerusi filem Terbang, aksi yang dipamerkan Irfan Zaini boleh disifatkan berada di tahap cemerlang.
Segala emosi yang dicurahkan dalam karakter Ajeet Singh cukup merentap emosi penonton.
Sempat berjumpa dengan Irfan seusai malam gala tempoh hari, lelaki berusia 31 tahun itu tidak mampu menahan sebak sehingga menitiskan air mata sewaktu menonton hasil lakonannya sendiri.
“Sejujurnya saya ingat saya takkan menangis tengok diri sendiri tapi saya nangis juga. Saya dan Shweta saling hulurkan tisu.
“Saya tengok Zizan menangis di sebelah, saya rasa perasaan dan emosi yang ada dalam filem ini sampai.
“Pengarah kita memang ada keistimewaan begitu. Kalau tengok Ola Bola pun dia memang suka main dengan emosi kita,” katanya kepada HibGlam.
Selain babak aksi rali berisiko tinggi yang meninggalkan kesan mendalam, Irfan mendedahkan adegan meruntun jiwa merupakan momen paling dibimbangi sejak awal pembacaan skrip lagi.
Ditanya rahsia di sebalik keberhasilan menjayakan babak sedemikian, pemilik nama lengkap Muhammad Irfan Mohamed Zaini mendedahkan produksi mengambil langkah serius di set penggambaran demi membantunya mendalami watak.
“Saya pun tak tahu siapa di skrin sebab bila buat babak (meruntun jiwa). Bila baca skrip pun saya rasa babak itulah paling saya bimbang daripada babak rali.
“Paling risau sebab nangis itu bukan menangis biasa, dia kena buat penonton rasa betul-betul sakit,” ujarnya.
Dalam masa sama, pelakon filem Blood Brothers itu mengambil inisiatif untuk bersama pengarah dan jurulatih lakonan bagi mengeluarkan emosi dalam dirinya.
“Saya duduk dengan pengarah, belajar dengan jurulatih lakonan. Sebenarnya emosi itu ada dalam diri kita, macam mana nak luahkan adalah dengan percaya.
Sinergi heroin
“Percaya benda itu betul-betul berlaku. Pengarah pun siap sediakan tujuh ke lapan jam untuk babak itu sebab fikir saya tak boleh menangis.
“Bila sampai set semua muram, tak ada orang cakap dengan saya. Mereka betul-betul ‘setup’ babak ini untuk saya.
“Selepas itu semua diam. Saya pun duduk seorang diri dengar lagu, cuba ambil emosi semua,” ujarnya.
Tambahnya lagi, babak tersebut benar-benar memberi kesan terhadap dirinya kerana dia gagal mengawal emosi walaupun arahan sudah menghabiskan adegan berkenaan.
“Bila dah ‘cut’ saya tak boleh berhenti menangis. Pengarah dan pembantu pengarah datang peluk saya untuk tenangkan saya.
“Tapi saya rasa kelakarlah saya tak sangka saya menangis. Babak itu saya rasa memang Ajeet bukan Irfan lagi dah,” ujarnya.
Mengulas mengenai gandingannya dengan Shweta Sekhon yang memegang watak isteri, Irfan mendedahkan mereka berdepan sedikit cabaran pada peringkat awal kerana mengenali antara satu sama lain sejak zaman persekolahan.
“Dengan Shweta saya tak ada langsung keserasian. Asalnya dia junior sekolah saya, saya tengok dia sebagai budak kecil.
“Saya tak boleh bayangkan dia sebagai bini saya, jadi bila nak hasilkan babak romantik kami asyik gelak.
“Ada satu kali saya beritahu untuk jadi ‘fake’ (pura-pura) tapi pengarah tahu kalau kita tipu, dia hantar bagi kami luangkan masa lebih lagi untuk latihan,” jelasnya.
















