PETALING JAYA – Beberapa kawasan di utara tanah air terus mencatatkan cuaca panas tahap berjaga-jaga membabitkan Kota Setar, Kedah dengan suhu maksimum harian mencecah 39 darjah Celsius.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), hampir keseluruhan daerah di Kedah berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) dengan purata suhu 37 hingga 38 darjah Celsius.
Kawasan terlibat adalah Pokok Sena, Langkawi, Pendang, Baling, dan Kuala Muda yang mencatatkan suhu 38 darjah Celsius. Kawasan Padang Terap, Kubang Pasu, Yan, dan Sik pula mencatatkan suhu harian 37 darjah Celsius.
“Pulau Pinang turut menunjukkan trend peningkatan suhu di Seberang Perai Utara dengan catatan 37 darjah Celsius, manakala kawasan Timur Laut dan Seberang Perai Selatan masing-masing 36 darjah Celsius.
“Perlis tidak terkecuali apabila kawasan Kangar turut dilaporkan berada pada tahap berjaga-jaga dengan bacaan suhu 38 darjah Celsius,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga, mengehadkan aktiviti luar dan sentiasa merujuk aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini. – KOSMO! ONLINE














