SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak lelaki yang maut dirempuh kereta ketika melintas di Jalan Kota Kuala Muda, di sini malam tadi dikatakan mahu ke gerai makan ibu saudaranya yang terletak di seberang jalan.
Kakak mangsa, Nurul Anis Amira Zamri, 25, berkata, adik bongsunya, Allahyarham Muhammad Ammar, 7, sering ke premis itu untuk membantu ibu saudara mereka membersihkan gerai sebelum ditutup.
“Selain dapat makan, dia (Muhammad Ammar) juga diberikan duit belanja,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.
Katanya, arwah adiknya tidak banyak bercakap dan memaklumkan dia mahu mati di dalam bilik bukannya di tempat lain sebelum kemalangan tersebut.
“Kami sekeluarga reda, namun berharap pihak polis dapat melakukan siasatan secara menyeluruh bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas di Jalan Kota Kuala Muda kira-kira pukul 9.23 malam tadi. – KOSMO! ONLINE














