MELAKA – Kerajaan negeri menyiasat hantaran tular dua lelaki berpakaian sedondon dengan kapsyen ‘Jodoh lebaran dah tiba’, yang didakwa mempromosikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Merlimau, Jasin.
Hantaran dimuat naik di platform Threads itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menyifatkannya sebagai mencemari sambutan Aidilfitri umat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rahmad Mariman berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan hantaran tersebut yang didakwa berlaku di Kampung Batu Gajah, Merlimau.
“Saya baru dimaklumkan mengenai perkara ini dan ia perlu disemak terlebih dahulu termasuk kesahihan lokasi kejadian. Buat masa ini, saya masih menunggu maklumat lanjut sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, siasatan akan dilakukan secara menyeluruh termasuk dari sudut perundangan bagi menentukan tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak terlibat.
“Apa pun, kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan selagi siasatan belum selesai,” ujarnya.
Terdahulu, hantaran tersebut memaparkan pasangan lelaki berkenaan berpelukan dari belakang serta bersalaman dalam posisi yang lazimnya dilakukan oleh pasangan sah lelaki dan wanita.
Pemilik akaun turut memuat naik kapsyen ‘Jodoh lebaran dah tiba. Alhamdulillah’.
Pemerhatian Kosmo! di platform itu bagaimanapun mendapati hantaran berkenaan telah dipadamkan, dipercayai susulan ia tular dan mendapat perhatian pihak berkuasa agama negeri. – KOSMO! ONLINE














