KOTA BHARU – Tindakan seorang pekerja kedai makan yang menguji dengan membakar bunga api sebelum membelinya membawa padah apabila gerai yang menjual barangan tersebut di Wakaf Che Yeh di sini hari ini terbakar.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.16 pagi itu menyebabkan sebuah gerai menjual makanan terbakar.
Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa, kejadian berpunca daripada kecuaian seorang pekerja kedai makan yang bertindak menguji bunga api atau mercun di gerai tersebut menyebabkan ia terbakar sebelum merebak ke sebuah premis bersebelahan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, api berjaya dikawal sepenuhnya dalam masa lima minit selepas pasukan bomba tiba tempat kejadian pada pukul 10.20 pagi.
“Jika kita lambat bertindak, kebakaran lebih besar mungkin berlaku berikutan premis kedai dibina rapat antara satu sama lain. Kebakaran itu tidak melibatkan kemalangan jiwa. Hanya empat khemah sementara terbakar, sebuah kedai makan musnah 20 peratus dan dua motosikal terbakar. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














