MELAKA – Hasrat seorang lelaki untuk beraya di rumah jirannya bertukar pilu apabila individu itu ditemui meninggal dunia di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini, petang semalam.
Mangsa berusia 42 tahun ditemui selepas pasukan bomba membuka pintu kediaman yang berkunci.
Menurut jirannya, Suffian Abdul Majid, 52, kejadian disedari selepas jiran yang lain datang ke rumah tersebut untuk beraya, namun mangsa tidak menyahut salam meskipun kasutnya berada di luar rumah.
“Jiran itu kemudian memaklumkan kepada saya mengenai bau kurang menyenangkan dari dalam rumah dan meminta saya memeriksa mangsa yang tinggal setingkat dengan saya.
“Saya ke rumahnya dan mendapati motosikalnya ada di bawah PPR serta kasutnya di luar tetapi dia tidak menyahut salam. Bau itu memang kuat selain terdapat lalat keluar dari celahan bawah pintu,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, curiga dengan keadaan tersebut, dia segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.
“Setahu kami, mangsa mempunyai penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung. Dia tinggal seorang diri selepas berpisah dengan isterinya.
“Kami dimaklumkan pihak berkuasa berkemungkinan mangsa telah meninggal dunia kira-kira empat hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah kembung,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.10 petang sebelum sepasukan enam anggota dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan berjaya membuka pintu yang berkunci dan menemukan seorang lelaki telah meninggal dunia. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














