BAGI kebanyakan selebriti, semasa atau selepas Aidilfitri menjadi waktu terbaik menarik nafas panjang selepas berbulan bekerja tanpa henti.
Segelintir memilih bercuti, ada juga sekadar berehat lebih lama bersama keluarga tercinta, namun berbeza bagi Ratu Rock Negara, Ella apabila musim raya kali ini tetap sarat agenda, malah jadualnya terus meluncur laju tanpa ruang senggang.
Tatkala orang lain masih dalam ‘mood’ raya, wanita bersuara serak basah itu sudah kembali mengatur langkah besar.
Bukan sekadar persembahan biasa-biasa, pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin itu bakal berangkat ke pentas antarabangsa menerusi sebuah persembahan khas di Doha, Qatar pada April depan, sekali gus menandakan langkah baharu dalam perjalanan seninya.
Persembahan tersebut dijadual berlangsung di sebuah hotel terkemuka di negara berkenaan, selain menjadi sebahagian rangkaian program seni serta pelancongan di Qatar.
Ujar penghibur berusia 59 tahun itu, Aidilfitri tahun ini tetap meriah, namun sebaik memasuki raya keempat, jadual kerjanya kembali padat.
“Alhamdulillah, raya sangat menyeronokkan tetapi raya keempat sudah kembali bekerja. Ada makan malam, ada program raya dan pelbagai acara lain.
“Setiap dua hari ada sahaja program sehingga raya ke-14. Selepas itu barulah kami bersiap untuk berangkat ke Doha,” katanya kepada HibGlam,
Menariknya, perjalanan ke Qatar kali ini bukan semata-mata membawa misi persembahan malah pelantun lagu Sembilu itu merancang menunaikan ibadah umrah terlebih dahulu bersama seluruh pasukan produksi sebelum beraksi di pentas antarabangsa.
“Kami akan pergi menunaikan umrah dahulu. Tiket penerbangan ke Doha sudah ada, jadi kami ubah sedikit perjalanan, dari Qatar kami sambung ke Jeddah.
“Insya-Allah sekitar tujuh hari kami berada di Tanah Suci untuk menunaikan umrah, kemudian barulah ke Qatar untuk persembahan,” ujarnya.
Lebih istimewa, umrah kali ini merupakan pengalaman pertama Ella menunaikan ibadah tersebut pada bulan Syawal.
“Kunjung kali ke Tanah Suci kali ini sangat bermakna. Sebelum ini saya belum pernah menunaikan umrah pada bulan Syawal.
“Lebih menarik, saya bawa bersama semua pasukan produksi. Selalunya mereka pergi sendiri tetapi kali ini kami mahu lakukan sama-sama,” kongsinya.
Pun begitu katanya, tempoh berada di Tanah Suci tidak terlalu panjang memandangkan musim haji semakin hampir.
Mengenai persembahan di Qatar pula, dia bakal menggunakan pemuzik tempatan negara tersebut, manakala pasukan produksi dari Malaysia tetap dibawa bagi memastikan kelancaran persembahan.
“Kami tidak boleh lama di Jeddah kerana sudah hampir musim haji. Jadi mungkin dua atau tiga hari sahaja di Mekah, kemudian empat hari di Madinah sebelum bergerak ke Qatar.
“Selepas umrah, kami terus ke Qatar untuk program di sana. Di sana nanti kami tidak bawa kumpulan muzik sendiri kerana pihak penganjur sudah menyediakan band tempatan,” jelasnya.
Menurut Ella, rombongan produksi yang menyertainya ketika ini dianggarkan sekitar 12 orang dan mungkin bertambah dalam masa terdekat.
“Setakat ini produksi sekitar 12 orang dan mungkin akan penambahan.
“Saya, suami, Kak Jojie dan seluruh pasukan akan ikut sekali. Ini juga kali pertama kami semua menunaikan umrah bersama sebagai satu pasukan,” tuturnya.
Bagi Ella, perjalanan tersebut tidak hanya misi kerja tetapi lebih daripada itu selain menjadi simbol kesyukuran selepas kejayaan konsert mega di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini.
“Saya anggap perjalanan ini sebagai cara meraikan kejayaan konsert di Bukit Jalil tempoh hari.
“Bila dapat peluang buat persembahan di luar negara dan dalam masa sama menunaikan umrah bersama pasukan, itu satu nikmat besar yang sukar diungkapkan dengan kata-kata,” tutupnya.














