PASIR PUTEH – Seorang buruh menempuh ujian berat apabila menjaga isteri yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima dan anak orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan perhatian sepanjang masa di rumah uzur yang hampir roboh.
Mat Rawi Omar, 52, masih memiliki kudrat untuk mencari rezeki, namun keadaan Muhammad Rayan Mat Rawi, 3, yang mempunyai masalah dua tulang betis terbantut serta tulang belakang memaksa lelaki itu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kanak-kanak tersebut.
Lebih menyedihkan, isterinya, Ramizah Ghazi, 37, yang sebelum ini banyak membantu menguruskan anak mereka semakin hilang kudrat dan terlantar selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima awal tahun ini.
Menurut Mat Rawi, sebelum isterinya sakit, dia bekerja sebagai buruh kampung dengan pendapatan RM50 sehari.
“Sekarang saya tidak dapat bekerja kerana menjaga isteri dan anak selain perlu berulang-alik ke hospital. Kami kini bergantung sepenuhnya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Telipot di sini baru-baru ini.
Mat Rawi memberitahu, bantuan JKM itu sekadar mencukupi untuk perbelanjaan rawatan, kos ulang-alik ke hospital dan sedikit keperluan makan minum mereka tiga beranak.
“Alhamdulillah, penghulu dan jiran-jiran banyak membantu. Setakat ini, kami tidak pernah sampai ke tahap tiada makanan. Buat masa ini, kami tinggal di dapur kerana sebahagian rumah ini sudah uzur dan menunggu masa untuk roboh,” katanya.
Jelasnya, bahagian dapur yang kini dijadikan tempat tidur dan memasak itu dibina sebuah badan bukan kerajaan kira-kira setahun lalu ketika isterinya terlantar di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
Orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga Mat Rawi boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 03090020836773 atas nama Ramizah atau menghubungi Mat Rawi di talian 013-745 6154.














