LONDON – Tottenham Hotspur semakin hampir untuk terjerumus ke zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 0-3 kepada Nottingham Forest di Stadium Tottenham Hotspur malam kelmarin.
Walaupun bermain di laman sendiri selain menguasai sebahagian besar permainan, namun Spurs gagal memanfaatkan kelebihan tersebut apabila membenarkan Forest meledak tiga gol menerusi Igor Jesus, Morgan Gibbs-White dan Taiwo Awoniyi.
Kekalahan itu jelas menambah derita pengurus, Igor Tudor yang turut menerima berita kematian ahli keluarganya sehingga beliau menyerahkan tanggungjawab sidang media kepada pembantunya, Bruno Saltor.
“Beliau (Tudor) ada urusan keluarga dan saya mengambil tanggungjawab ini kerana bukan masa sesuai untuk beliau bercakap. Sudah tentu kami sangat kecewa dengan keputusan tidak seperti diharapkan.
“Kekalahan kami kebanyakannya berpunca daripada kesilapan sendiri. Apa yang boleh saya cakap, setiap kesilapan yang kami lakukan sentiasa menjadi peluang untuk pasukan lawan menjaringkan gol,” kata Saltor.
Spurs boleh dianggap berada dalam keadaan cukup bahaya memandangkan mereka hanya dibezakan satu mata dengan pasukan tangga ke-18, West Ham United yang turut tewas 0-2 kepada Aston Villa.
“Ia sangat menyakitkan tetapi terima kasih kepada penyokong kerana terus menunjukkan sokongan. Kami perlu terus berjuang kerana ini adalah Spurs dan kami mahu keluar dari situasi sukar ini,” ujar Saltor. – AGENSI














