NEW YORK – Dua orang terbunuh selepas sebuah pesawat penumpang melanggar jentera bomba di landasan Lapangan Terbang LaGuardia, New York, lapor akhbar Metro. Co. hari ini
Pihak berkuasa tidak segera menyatakan bilangan korban atau jumlah mangsa yang cedera dalam nahas pada malam tadi, namun saluran berita NBC News melaporkan bahawa dua orang meninggal dunia.
Penerbangan Jazz Aviation yang beroperasi bagi pihak Air Canada itu membawa 72 penumpang dan empat kru ketika kejadian.
Pihak berkuasa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat sedang menyiasat nahas tersebut.
Penerbangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Montreal-Pierre Elliott Trudeau di Montreal.
Seorang pegawai bomba berkata, pihaknya bertindak balas berhubung kemalangan itu pada pukul 11.38 malam (waktu tempatan).
“Penerbangan Jazz Aviation terlibat dalam kemalangan di Landasan 4 Lapangan Terbang LaGuardia di mana pesawat melanggar jentera pemadam kebakaran milik Pihak Berkuasa Penyelamatan Pesawat dan Pemadam Kebakaran Pelabuhan yang bertindak balas berhubung insiden berasingan,” kata Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey.
Beberapa klip video yang dirakam orang awam dan dimuat naik di laman sosial media menunjukkan muncung pesawat rosak teruk. – AGENSI













