PETALING JAYA – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli membuktikan semangat juangnya tidak mudah luntur apabila berjaya menyambar petak ketiga dalam sesi kelayakan pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Brazil.
Meskipun berdepan detik cemas selepas terjatuh di selekoh keenam, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu bangkit merakam 1 minit 26.448 saat (s) untuk muncul ketiga terpantas.
Pelumba LevelUp MTA dari Sepanyol, Joel Esteban akan bermula dari petak utama selepas merakam pusingan terpantas 1:26.241s, diikuti pelumba Red Bull KTM Tech3, Valentin Perrone (1:26.447).
“Saya berasa sangat gembira kerana berjaya menduduki tempat ketiga. Ini merupakan pencapaian terbaik saya setakat ini bagi memulakan saingan dalam kelas Moto3.

“Walaupun saya terjatuh di selekoh keenam tadi, saya segera bangkit untuk membawa semula jentera ke litar bagi mendapatkan catatan masa terbaik,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Hakim turut memberikan kredit kepada barisan mekaniknya yang bertindak pantas memastikan jenteranya kembali dalam keadaan terbaik selepas insiden tersebut.
Jelasnya, tumpuannya ketika itu langsung tidak terganggu dan hanya memikirkan cara untuk mendapatkan posisi permulaan yang terbaik di Litar Antarabangsa de Goiania – Ayrton Senna yang berlangsung pukul 11 malam ini.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mekanik yang bertindak pantas membaiki jentera sehingga saya berupaya menyambung semula tunggangan tanpa sebarang masalah.
“Ketika sesi kelayakan tersebut, saya tidak memikir perkara lain dan hanya mahu memburu petak terbaik. Pada pusingan terakhir, saya berasa sangat serasi dengan prestasi jentera saya.
“Selepas ini, saya akan memberi tumpuan pada perlumbaan sebenar nanti,” ujarnya lagi.
Bagi Hakim Danish, kejayaan tersebut merupakan pencapaian terbaiknya setakat ini dalam kategori Moto3 selepas pusingan pertama di Thailand selepas bermula di petak ke-15 dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 keseluruhan. -KOSMO! ONLINE














