KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat berkemampuan agar menyantuni golongan kurang bernasib baik sempena sambutan Aidilfitri.
Baginda bertitah, amalan membantu bukan sahaja memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan turut sama merasai kemeriahan beraya malah ia peluang untuk menggandakan pahala pada hari mulia.
“Dalam kita berhari raya dan bersuka ria, janganlah dilupa yang kurang berkemampuan.
“Ambillah peluang untuk menyantuni serta membantu sekadar kemampuan agar mereka juga dapat merasakan kemeriahan hari raya,” titah baginda dalam perutusan Aidilfitri hari ini.
Terdahulu baginda berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 2,500 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini.
Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta anakanda-anakanda baginda.
Sejurus selesai solat sunat Aidilfitri, baginda sekeluarga meluangkan masa lebih 15 minit bersalaman dengan jemaah yang hadir. Baginda kemudiannya menziarahi makam diraja yang terletak di pekarangan masjid. – KOSMO! ONLINE














