PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, sebarang anasir yang mengancam perpaduan rakyat di negara ini mesti dibanteras tanpa kompromi.
Baginda bertitah, ia bukan sekadar tindakan undang-undang atau perbincangan antara pemimpin masyarakat ketika timbulnya guris hati dan amarah, tetapi juga dalam penerapan amalan peradaban seharian dalam kalangan rakyat.
Titah baginda, perkara ini mesti dipupuk serta sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa.
“Saya ingin mengulangi nasihat yang diberikan dalam perutusan hari raya tahun lalu, tetapi nampaknya ramai yang lupa atau buat tidak endah.
“Kita sebagai rakyat Malaysia, jangan lupa Lima Prinsip Rukun Negara yang juga menyatakan prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.
“Di manakah kekurangannya kita mendidik rakyat berkenaan perkara asas adab ini sehingga ada yang begitu beracun dan kurang ajar sudut pandang serta kelakuannya sehingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?,” titah baginda menerusi Perutusan Aidilfitri 2026 Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Sultan Ibrahim turut mengimbas beberapa insiden yang pernah dilaporkan sebelum ini.
“Masih segar lagi tentang stoking tertera kalimah Allah, bendera negara dikibarkan terbalik, ada pula pijak al-Quran dan kedengaran juga golongan kurang ajar di masjid, serta mulut dan jari celupar yang sewenang-wenangnya mengapi-apikan kebencian, kemarahan dan perpecahan.
“Kita tidak boleh terima orang yang kurang ajar, sama ada antara kaum masyarakat yang berbeza, mahupun dalam kalangan satu jenis kaum itu sendiri,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda percaya sebahagian besar rakyat Malaysia tahu untuk membawa diri dengan adab yang baik dalam kehidupan seharian.
“Suara majoriti ini mesti mengatasi serta mendiamkan suara yang tidak beradab.
“Ingin saya ingatkan kepada semua akan pepatah ‘Bersatu Teguh, Bercerai Roboh’. Tatkala negara lain mengalami peperangan, kita harus bersyukur dengan keamanan yang sedang kita nikmati,” titah baginda.
Baginda bertitah, pengurusan isu-isu sensitif oleh pihak berkuasa juga mesti berhemah dan mengambil kira semua aspek berkaitan, serta tiada ruang untuk kesilapan.
“Tunjukkan tindakan yang diambil itu benar, tegas dan tepat agar tidak menghakis kepercayaan kepada pentadbiran negara. Saya berharap nasihat ini tidak dilupakan dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Mengakhiri perutusan berkenaan, baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mendoakan semoga sekalian rakyat dan seluruh negara dilindungi daripada musibah, serta dikurniakan kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang kukuh.
“Berhati-hatilah di jalan raya dan makan dengan berhemah. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE














