JAKARTA – Beribu-ribu orang menunaikan solat sunat Aidilfitri di salah satu lokasi tercantik di Indonesia yang berlatarbelakangkan dua gunung di Wonosobo, wilayah Jawa Tengah pagi tadi lapor portal berita RMOL Jateng.
Solat sunat itu diadakan di Padang Desa Butuh, menghadap ke arah Gunung Sumbing dan Sindoro.
Selain udara sejuk, orang ramai terutamanya dari pelbagai wilayah sanggup datang ke lokasi itu untuk menunaikan solat secara berjemaah sambil menikmati pemandangan yang cantik.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @mountnesia menunjukkan penduduk tempatan duduk beramai-ramai sambil melaungkan takbir raya.
Ada antara mereka mengeluarkan telefon pintar untuk merakam pemandangan yang cantik.
Seorang penduduk, Yakup Ari Wibowo berkata, solat sunat Aidilfitri diadakan pada pukul 6 pagi (waktu tempatan) dan dipimpin oleh seorang imam bernama Abdul Aziz Ma’arif.













