SAMBUTAN hari raya Aidilftiri tahun ini pastinya lebih meriah apabila saluran televisyen RTM menghadiahkan bingkisan istimewa dengan penerbitan Konsert Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun yang akan bersiaran pada Syawal kedua, pukul 9 malam di TV2.
Menurut penerbit, Nur Ashidah, konsert istimewa ini sudah dirancang sejak dari tahun 2024 selepas Siti dianugerahkan gelaran Biduanita Negara.
“Konsert ini adalah penghargaan untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza yang memulakan kariernya sebagai penyanyi di RTM. Kita sudah rancang untuk menerbitkan ini sejak beliau dinobatkan sebagai Biduanita Negara.

“Tetapi beliau sangat sibuk dan akan menganjurkan konsert besar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada awal tahun ini, jadi kita pilih tarikh selepas konsert beliau,” katanya.
Tambahnya lagi, apa yang istimewa tentang konsert ini adalah selitan rakaman video Siti sewaktu bersama RTM sejak 30 tahun yang jarang dipertontonkan.
“Tak semua orang pernah tengok video-video tersebut. Anak-anak Siti sendiri tak pernah tengok. Memang ada banyak video Siti bersama RTM dalam arkib kita. Cuma kita tak keluarkan semua sahaja.
“Jadi semua rakyat Malaysia khususnya peminat setiap Siti Nurhaliza perlu menonton konsert ini pada Syawal kedua nanti,” ujarnya.
Hadiah buat RTM
Sementara itu bagi Siti sendiri, konsert istimewa ini adalah hadiah daripada beliau kepada RTM dan para peminat.
“RTM banyak berbakti kepada saya. Saya terhutang budi dengan RTM. Bila karier saya genap 30 tahun, saya kena buat juga satu persembahan istimewa untuk RTM. Ibarat kata pepatah sireh pulang ke gagang.
“Konsert ini sangat istimewa dan mempunyai kelas tersendiri kerana diiringi oleh kumpulan orkestra, susunan muzik yang berbeza serta suara nyanyian saya yang berbeza daripada konsert-konsert sebelum ini. Perasaan saya pun berbeza untuk konsert kali ini,” kongsinya.
Lebih menarik konsert ini turut menampilkan artis undangan yang bukan calang-calang. Antaranya Aina Abdul, Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Menurut Siti dia sendiri yang mahukan Aina sebagai artis undangan untuk konsertnya kali ini.
“Sebelum konsert ini diterbitkan, kita memang duduk berbincang tentang siapa artis undangan yang akan dipilih dan saya sendiri menyuarakan hasrat mahu berduet dengan Aina Abdul.
“Alhamdulillah Aina sudi meluangkan masa berduet bersama saya. Aina juga berikan yang terbaik dalam persembahan duet kami. Saya sangat berpuas hati,” jelasnya.

Orkestra
Diiringi oleh pasukan orkestra di bawah kendalian Datuk Mokhzani, kata maestro Muzik itu, beliau terharu kerana dipilih oleh Siti sendiri untuk menjadi pengarah konsert ini.
“Adalah satu penghormatan buat saya apabila dipilih sendiri oleh Siti untuk menjadi pengarah muzik konsert ini. Saya hanya mempunyai 12 hari untuk menyiapkan susunan muzik bersama 44 orang ahli pasukan orkestra.
“Sejujurnya dalam tempoh yang singkat semestinya saya ada rasa sedikit tekanan kerana repertoire Siti merangkumi pelbagai jenis genre muzik.
“Tetapi saya mengambil cabaran ini disebabkan harapan yang tinggi diletakkan kepada saya. Alhamdulillah kita dapat selesaikan konsert ini dengan jayanya,” katanya.
Pada konsert yang turut dihadiri oleh tetamu Diraja, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin itu, Siti menyampaikan rangkaian lagu popularnya sepanjang 30 tahun bergelar anak seni.
Antara lagu yang dipersembahkan adalah Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Kau Kekasihku, Bukan Cinta Biasa, Aku Cinta Padamu, Badarsila, Rencong dan Kesuma.
Untuk segmen duet, Siti menyampaikan lagu Tujuh Nasihat bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta dan lagu Kumbang Bunga duet bersama Aina Abdul.
Sebagai penutup, Siti turut menghadiahkan para peminatnya dengan lagu Nazam Lebaran sebagai tanda meraikan hari yang mulia.














