KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata parang di sebuah klinik di Bangsar, Mac tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh P. Sangara Lingam, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suhaila Haron.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak pekerja klinik itu iaitu seorang lelaki warga Pakistan berusia 35 tahun, dengan mengambil sebentuk cincin milik mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah klinik di Bangsar di sini pukul 2.00 petang pada 4 Mac 2025 yang didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan tersebut melibatkan penggunaan senjata berbahaya.
“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk menawarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon jumlah RM10,000 dikenakan beserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.
Bagaimanapun peguam, Tripatjit Singh yang mewakili Sangara Lingam, memohon jumlah jaminan yang minima kerana anak guamnya menanggung keluarga.
“Anak guam saya bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai dua orang anak yang masih belajar. Beliau juga merupakan penanggung utama keluarga yang perlu menjaga ibunya yang menghidap sakit buah pinggang.
“Selain itu, tertuduh sendiri mempunyai masalah kesihatan berkaitan usus. Pihak kami tidak mempunyai bantahan terhadap syarat tambahan namun memohon jumlah jaminan dikurangkan,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 April ini bagi tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














