KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan melalui saluran G2G (kerajaan kepada kerajaan) atau antara agensi berhubung siasatan terhadap artikel yang disiarkan oleh Bloomberg, yang didakwa mengandungi unsur fitnah ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, tindakan tersebut adalah bagi mendapatkan kerjasama pihak berkaitan berikutan mereka yang dikaitkan dilaporkan berada di luar negara.
“Kita memang telah pergi ke pejabat Bloomberg di Menara Petronas. Kita telah bertemu beberapa staf dan kita dimaklumkan, mereka yang berkaitan ada yang berada di luar negara,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.
Terdahulu, Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa, Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Azam bagaimanapun menegaskan pegangan saham bernilai RM800,000 dalam syarikat perkhidmatan kewangan itu dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Beliau juga dilaporkan telah mengemukakan surat tuntutan terhadap agensi berita antarabangsa Bloomberg berhubung laporan yang mendakwa beliau memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Dalam kenyataan media sebelum ini, Azam mengemukakan surat tuntutan itu menerusi Firma guaman, Zain Megat & Murad.
Berdasarkan kenyataan media itu, laporan, cadangan dan sindiran yang terkandung dalam penerbitan tersebut adalah fitnah, tidak bertanggungjawab dan mengelirukan secara serius selain telah menyebabkan kecederaan serius kepada maruah, kredibiliti dan integriti institusi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM. – KOSMO! ONLINE














