DALAM misi memburu kegemilangan di Sukan Para Asia, jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menganggap temasya itu sebagai pentas paling penting untuk terus mengukuhkan legasinya di peringkat Asia.
“Kami memang sasarkan Sukan Para Asia. Itu memang target utama saya. Sejak 2014 saya sudah empat kali sertai temasya ini, jadi harapan saya untuk kekalkan pingat emas di Nagoya nanti,” katanya.
Bagi memastikan impian itu menjadi kenyataan, Ziyad kini menjalani persiapan rapi menerusi siri kejohanan kompetitif yang disusun khusus sebagai platform menguji prestasi.
“Sebelum Para Asia, kami ada banyak kejohanan seperti Terbuka Sarawak dan juga pertandingan di Maghribi selepas Hari Raya Aidilfitri. Biasanya jurulatih akan atur 10 hingga 11 kejohanan sebagai persediaan,” jelasnya.
Bagi Ziyad, setiap kejohanan bukan sekadar persiapan, tetapi medan penting untuk mengekalkan konsistensi dan meningkatkan tahap prestasi menjelang kemuncak musim.
Dalam masa sama, atlet berusia 36 tahun itu menegaskan komitmennya terhadap sukan tidak pernah berbelah bahagi meskipun sudah mencapai pelbagai kejayaan sepanjang karier.
“Saya tak pernah anggap apa yang saya buat ini perkara main-main dan secara sambil lewa. Saya tak pernah rasa selesa dengan apa yang saya ada. Saya nak cipta nama sampai orang kenal dan buat bersungguh-sungguh,” katanya.














