DUNGUN – Sambutan Aidilfitri Suraya Ahmad tidak lagi pernah lengkap sejak kehilangan anak ketiganya, Sharlinie Mohd. Nashar yang dipercayai diculik individu tidak dikenali di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor 18 tahun lalu.
Ibu tunggal anak empat itu berkata, hatinya makin sayu merindukan Sharlinie atau dipanggil Nini setiap kali mendengar takbir raya berkumandang.
“Biarlah orang lain nak kata dan anggap Nini sudah tiada (meninggal dunia), selagi tiada bukti saya tetap yakin anak saya itu masih hidup, namun dipelihara orang lain.
“Harapan saya suatu hari nanti, dia yang kini sudah berusia 22 tahun kembali ke pangkuan keluarga sekali gus membolehkan kami beraya bersama-sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pulut di sini baru-baru ini.
Sebelum ini negara digemparkan dengan kisah kehilangan Sharlinie yang ketika kejadian berusia empat tahun sewaktu bermain dengan kakaknya, Sharlina di sebuah taman permainan di Taman Medan, Selangor pada 9 Januari 2008.
Di awal kehilangannya, pelbagai pihak cuba mencari hingga ada yang mendakwa melihat kanak-kanak itu menaiki bas di Hentian Puduraya.
Suraya, 46, berkata, dia sengaja menggantung dua keping gambar Nini di dinding rumah sebagai pengubat rindu.
Pembantu kedai makan tersebut berkata, sekiranya hatinya bercelaru, dia akan mendakap dua helai baju Nini bagi melepaskan kerinduan.
“Baju berwarna merah jambu dan kuning yang masih elok itu merupakan kegemaran Nini dan sering dipakai sebelum hilang.
“Saya sentiasa mengingati Nini sebagai anak yang gemar bergaya cantik dan petah bercakap,” katanya.
Suraya berkata, kehadiran dua cucu lelaki berusia dua dan empat tahun sedikit sebanyak mengurangkan kesunyiannya yang amat merindukan Nini.
Dia yang berpisah dengan suaminya sejak tahun 2018 tidak pernah putus mendoakan kesejahteraan Nini setiap hari.
“Saya akan tetap sabar dan setia menunggu kepulangan Nini hingga ke akhir hayat,” katanya.
Sementara itu, Sharlina, 26, pula percaya dia mampu mengecam Nini yang kini sudah dewasa memandangkan wajah mereka seiras.
“Ramai orang kata muka kami hampir sama. Saya dan adik-beradik lain juga harap bertemu kembali Nini.
“Apapun saya gembira emosi ibu semakin stabil dan baik sejak mempunyai cucu,” katanya.
















