fbpx
Aliran trafik di laluan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Mentara, Gua Musang bergerak perlahan susulan pertambahan kenderaan sejak semalam. FOTO AIMUNI TUAN LAH

12 jam baru sampai Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Perjalanan pulang perantau ke Kelantan sempena Hari Raya Aidilfitri mengambil masa lebih 12 jam dari ibu negara untuk masuk ke Gua Musang apabila aliran trafik semakin sesak bermula semalam.

Seorang perantau dari Lembah Klang, Nurliayana Zainal Abidin, 36, berkata, perjalanan pulang ke Kelantan dari rumahnya di Kajang mengambil masa lebih 11 jam sebelum tiba di Gua Musang.

Katanya, keadaan itu bukan perkara baharu kerana kesesakan sering berlaku setiap kali musim perayaan.

“Kalau balik raya memang tak boleh elak apabila saya pernah menempuh kesesakan hampir 20 jam.

“Kali ini, saya bertolak pukul 12.30 tengah malam tadi, tetapi banyak kali berhenti kerana turut membawa anak kecil. Dari Kajang ke Gombak aliran trafik sudah mula sesak kemudian di Raub menuju Gua Musang lagi padat,” katanya.

Mohd. Yusoff Mohamad, 42, dari Lukut, Negeri Sembilan pula berkata, dia yang bertolak sekitar pukul 9.30 malam tadi menjangkakan perjalanan ke Kubang Kerian mencecah lebih 12 jam.

“Perjalanan memang perlahan sekitar 80 hingga 100 kilometer sejam. Saya berhenti tiga kali untuk berehat dan bersahur.

“Seawal pukul 6 pagi sudah tersangkut lama terutama di kawasan sempadan Merapoh, Pahang menuju ke Gua Musang. Kalau keadaan berterusan mungkin sampai petang di Kubang Kerian,” katanya.

Seorang lagi perantau dari Gombak, Wan Habibullah Wan Ibrahim, 34, berkata, dia bertolak seawal pukul 4.30 pagi dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu selepas merujuk aplikasi Waze.

“Saya dimaklumkan semalam kesesakan lagi teruk. Saya cuba elak kesesakan ikut laluan Sungai Koyan, Pahang tapi bila sampai Padang Tengku hingga Gua Musang jalan sesak kerana kenderaan bertambah.

“Saya dapati banyak laluan sempit dan ada kawasan dari dua lorong jadi satu antara punca utama kesesakan,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, hampir dua juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan melalui tiga laluan utama di Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN