KUALA LUMPUR – The Asia Records telah meraikan kecemerlangan usahawan dan pemimpin serta organisasi yang berjaya, memiliki keberanian sekali gus memberi impak luar biasa kepada masyarakat dan juga negara.
Anugerah ini akan mengiktiraf dan mendokumentasikan pencapaian luar biasa di seluruh rantau ini sambil mempromosikan kecemerlangan, keusahawanan dan impak kepada masyarakat.
Ia juga bertujuan untuk mewujudkan platform yang berwibawa, mengangkat pemimpin dan organisasi yang menetapkan standard lebih tinggi dalam industri dan komuniti.
Selain itu, majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini juga melancarkan The Asia Records Book of Achievements 2025/26 iaitu sebuah arkib yang mendokumentasikan pencapaian luar biasa organisasi dan individu di seluruh Asia.

Pengasas dan Pengerusi Penganjur The Asia Records, Dato KK Chua berkata, pihaknya berbangga terhadap sambutan yang diterima terhadap penganugerahan The Asia Records dan ini menunjukkan bahawa pasaran ini memerlukan pengiktirafan yang memberi makna kepada usahawan dan organisasi serta syarikat.
“Kami berhasrat untuk membina sebuah komuniti yang mencipta impak, mencabar kebiasaan dan meninggalkan legasi yang berkekalan.
“Kumpulan pemegang rekod tahun ini menampilkan nama-nama berpengaruh di peringkat global dan serantau merentasi pelbagai industri seperti Amazon, Starbucks, iQIYI dan Batik Air.
“Para penerima ini mewakili kepimpinan keusahawanan, inovasi dalam platform digital dan kandungan, kecemerlangan dalam industri penerbangan dan logistik, serta sumbangan korporat yang membentuk pasaran di seluruh Asia,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian anugerah dan pelancaran buku tersebut.
Menurut Chua, The Asia Records Book of Achievements 2025/26 menjadi arkib rasmi pertama organisasi tersebut iaitu satu rekod formal pencapaian cemerlang yang juga berfungsi sebagai penanda aras bagi pemimpin dan perusahaan masa hadapan.
Buku ini bertujuan meningkatkan kredibiliti para penerima, memudahkan pengiktirafan merentas sempadan serta memberi inspirasi kepada generasi baharu pencetus perubahan. -KOSMO! ONLINE














