Melalui inisiatif tersebut, lebih ramai belia berpeluang terlibat secara aktif dalam ekosistem e-sukan.

Dua inisiatif perkukuh ekosistem e-sukan tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INDUSTRI e-sukan semakin berkembang pesat dan kini menjadi antara sektor yang mendapat perhatian dalam pembangunan sukan moden serta ekonomi digital negara.

Selari dengan perkembangan itu, pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi menyokong bakat baharu, memperkukuh komuniti pemain serta membuka lebih banyak peluang kepada penganjur kejohanan dan pencipta kandungan digital.

Bagi memastikan pertumbuhan industri ini lebih tersusun dan mampan, sokongan dalam bentuk dana dan program pembangunan dilihat penting untuk membantu pemain, pasukan serta organisasi tempatan terus berkembang.

Melalui inisiatif tersebut, lebih ramai belia berpeluang terlibat secara aktif dalam ekosistem e-sukan, sekali gus memperluas potensi Malaysia untuk melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari melancarkan Dana E-sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2026 dan Malaysia Esports Accelerator Program (MEAP) 2026 di ESI Grand Hall, Spacerubix Puchong, Selangor baru-baru ini sebagai usaha memperkukuh pembangunan industri e-sukan negara.

Pelancaran dua inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong pertumbuhan ekosistem e-sukan yang semakin berkembang dalam kalangan belia di Malaysia.

Mohammed Taufiq berkata, Dana E-sukan KBS 2026 bertujuan menyokong pelbagai projek dalam kategori kejohanan e-sukan dan pembangunan kandungan digital dengan peruntukan RM1 juta pada tahun ini.

“Program ini kini memasuki tahun keempat pelaksanaan sejak diperkenalkan oleh KBS bagi merancakkan lagi aktiviti e-sukan di peringkat komuniti serta industri tempatan.

“Melalui dana ini, peruntukan sehingga RM20,000 disediakan bagi setiap projek dalam dua kategori utama iaitu penganjuran kejohanan e-sukan dan pembangunan kandungan digital.

“Inisiatif ini dijangka memberi peluang kepada lebih banyak komuniti, kelab serta organisasi tempatan untuk menganjurkan program berkaitan e-sukan yang mampu menarik penyertaan pemain baharu dan peminat permainan digital,” katanya.

Bagi tahun 2026, pelaksanaan Dana E-sukan KBS disasarkan melibatkan kira-kira 9,000 peserta serta mencapai sekitar 2.5 juta tontonan di platform digital.

Sasaran ini selari dengan usaha memperluas penglibatan masyarakat dalam industri e-sukan selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang aktif membangunkan sektor tersebut di rantau Asia Tenggara.

Selain itu, Malaysia Esports Accelerator Program 2026 turut diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan pasukan dan pemain tempatan yang berpotensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa melalui sokongan latihan, pembangunan prestasi serta bantuan kewangan yang bersesuaian.

Sokongan yang disediakan menerusi program tersebut merangkumi bantuan dana hospitaliti, latihan dalaman intensif serta persediaan ketahanan mental bagi memastikan atlet e-sukan tempatan berada dalam keadaan terbaik ketika mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa.

Usaha ini juga menjadi pengiktirafan terhadap komitmen pemain yang membawa nama Malaysia di pentas global.

Bekas pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong Hanifah (kiri) dilantik sebagai jurulatih sepenuh masa skuad e-Racing kebangsaan, baru-baru ini.

Menurut Mohammed Taufiq, kerajaan berhasrat untuk mengukuhkan komuniti e-sukan di peringkat akar umbi melalui Dana E-sukan KBS dengan memastikan lebih ramai belia dan pertubuhan tempatan mendapat peluang untuk menyertai, menganjurkan serta menikmati manfaat daripada perkembangan industri ini.

Pada masa yang sama, Malaysia Esports Accelerator Program 2026 akan memberi tumpuan kepada pasukan dan pemain yang telah menunjukkan potensi untuk berkembang ke tahap lebih tinggi.

“Pendekatan ini membolehkan pembangunan bakat dilakukan secara menyeluruh daripada peringkat komuniti sehingga ke tahap profesional.

“Kedua-dua inisiatif ini dilihat saling melengkapi dalam strategi kerajaan membangunkan industri e-sukan negara secara lebih tersusun.

“Pembangunan di peringkat akar umbi melalui kejohanan dan kandungan digital mampu melahirkan bakat baharu, manakala program pemecut prestasi pula membantu memperkukuh keupayaan pemain yang bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated, Ahmed Faris Amir berkata, pihaknya akan terus komited menterjemahkan aspirasi kedua-dua program tersebut melalui pelaksanaan yang tersusun.

“Kerjasama strategik bersama pemain industri, penerbit permainan serta sektor swasta akan diperkukuh bagi memastikan pembangunan ekosistem e-sukan negara dapat dilaksanakan secara mampan.

“Esports Integrated memainkan peranan penting dalam menyelaras pelbagai inisiatif pembangunan e-sukan di bawah KBS,” katanya.

Melalui pendekatan kerjasama industri, organisasi ini berusaha membina ekosistem yang menyokong pembangunan bakat, penganjuran kejohanan serta penghasilan kandungan digital berkaitan permainan kompetitif.

Pembangunan e-sukan juga dilihat sebagai sebahagian daripada perkembangan ekonomi digital negara yang semakin pesat.

Selain menjadi platform hiburan dan pertandingan, e-sukan turut membuka peluang kerjaya dalam bidang pengurusan acara, penciptaan kandungan, analisis permainan serta pembangunan teknologi berkaitan industri permainan.

Seiring perkembangan tersebut, kerajaan akan terus menyokong industri e-sukan negara secara menyeluruh daripada peringkat komuniti sehingga ke tahap profesional.

Usaha ini diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet e-sukan yang berdaya saing serta mampu mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN