TAPAH – MIC menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti komponen Barisan Nasional (BN) bertindak keluar daripada gabungan tersebut dan menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, dakwaan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu tidak berasas sama sekali selain beliau tidak mempunyai sebarang maklumat rasmi berhubung keputusan tersebut.
“Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu. Tiada keputusan dibuat oleh MIC untuk menyertai PN setakat ini. Saya sudah jelaskan sejak awal lagi, kita akan serahkan kepada CWC untuk membuat keputusan dan setakat ini CWC belum memutuskan apa-apa,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Tapah ditemui pemberita selepas majlis sumbangan raya kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di Tapah hari ini.
Katanya lagi, MIC tidak pernah mengemukakan permohonan untuk menyertai PN namun hanya membuat pertanyaan lanjut berhubung parti tersebut. – KOSMO! ONLINE














