SEREMBAN – Seorang pemandu e-hailing didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran di Facebook miliknya yang boleh menimbulkan kegusaran awam berhubung status Masjid Jamek Dato’ Bandar Haji Ahmad Rasah di bawah ‘flyover’ di sini.
Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, P. Mahendra Bhoopathy, 52, setelah mendengar hujahan mitigasi dan pemberatan daripada kedua-dua belah pihak.
Mahkamah turut menetapkan, sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara tujuh bulan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan merayu hukuman paling minimum kerana menghidap penyakit kencing manis dan menanggung seorang anak, isteri dan ayah yang uzur
“Saya minta maaf kepada semua umat Islam di mana saya telah menyebarkan video tersebut tanpa niat apa-apa. Saya cuma bertanyakan persoalan sahaja dan ini telah menimbulkan susah hati kepada orang Islam, saya minta maaf atas kesilapan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














