fbpx
Gambar hiasan.

Rakyat Malaysia di Asia Barat telah diurus, dibawa pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan semua rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat konflik Asia Barat, termasuk mereka yang menunaikan umrah secara kendiri (DIY) telah diuruskan dan dibawa pulang.

Menurut beliau, operasi evakuasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas itu dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“MKN akan memberi nasihat kepada Kementerian Luar untuk kita menyelaras. Setakat hari ini, kita telah pun membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di Asia Barat.

“Rakyat Malaysia yang mengerjakan umrah secara DIY, semuanya pun telah diuruskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Forum Ilmuwan Madani di Kementerian Pendidikan Tinggi, di sini hari ini.

MKN sebelum ini memaklumkan kerajaan Malaysia telah berjaya melaksanakan operasi evakuasi membawa pulang 170 rakyat Malaysia yang terkandas akibat konflik di beberapa negara di Asia Barat.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara rantau berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, setakat ini kementerian tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang menetap di sana.

“Bagi rakyat Malaysia yang tinggal di sana, itu merupakan kategori ketiga. Itu kita tidak ada apa-apa perancangan setakat hari ini untuk membawa mereka balik.

“Dan mereka boleh kembali kalau mereka nak balik kerana penerbangan daripada negara-negara tersebut, ruang udara negara-negara tersebut telah pun dibuka dan mereka boleh balik sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, serangan Israel dan AS terhadap Iran sebagai peperangan tidak diisytiharkan dan tidak adil yang memberi kesan bukan sahaja kepada Asia Barat tetapi juga ekonomi dunia secara keseluruhan.

Mengenai pendirian Malaysia di peringkat antarabangsa, beliau berkata, suara negara telah dinyatakan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap sebuah negara merdeka.

“(Iran) sebuah negara yang merdeka yang diserang kedaulatannya tanpa apa-apa sebab,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat kapal dagang dari Malaysia yang disekat di Selat Hormuz, Mohamad berkata, tiada perkembangan baharu berikutan kawasan itu masih ditutup.

Media sebelum ini melaporkan Iran telah menutup Selat Hormuz  sejak 1 Mac susulan serangan AS-Israel yang mengorbankan lebih 1,200 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei dan gangguan itu telah menjejaskan eksport minyak global dan meningkatkan ketidakstabilan pasaran tenaga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI