KUALA LUMPUR – Suasana 10 malam terakhir Ramadan di ibu negara sesak bukan sahaja dengan kehadiran pengunjung yang membeli-belah persiapan raya, tetapi golongan ‘asnaf segera’ yang mahu mendapatkan makanan, pakaian dan duit raya.
Tinjauan Kosmo! di Lorong Haji Taib di sini, malam kelmarin, mendapati bilangan mereka termasuk kanak-kanak meningkat ketara terutama selepas waktu berbuka puasa hingga lewat malam.
Terdapat sebahagian mereka yang menunggu di kaki lima dan laluan pejalan kaki seawal pukul 6 petang bagi mendapatkan sumbangan dan berjaya mengumpul hampir RM1,000 sepanjang 10 malam tersebut.
Bagi yang mempunyai jadual agihan makanan dan sumbangan wang, mereka sanggup menunggu lebih awal di lokasi agar tidak terlepas peluang.
Seorang individu dikenali sebagai Mat, 47, berkata, kehadiran ramai asnaf atau gelandangan bukan pemandangan luar biasa kerana banyak pihak tampil menghulurkan bantuan kepada golongan tersebut pada 10 malam terakhir Ramadan.
“Hari ini (kelmarin) saya mendapat duit raya RM150, anak-anak pun dapat jumlah yang sama. Pakaian raya pun mereka dapat lebih tiga helai hasil sumbangan pelbagai pihak,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Hana, 53, yang berasal dari Sabah memberitahu, bantuan yang diterima pada malam-malam terakhir Ramadan ibarat rezeki terpijak yang memberi kegembiraan buat dirinya sebagai ibu kerana anak-anaknya berpeluang menyarung baju baharu untuk Aidilfitri.
“Duit raya dapat, barang dapur dapat, baju raya pun dapat. Ramai yang pemurah. Setiap tahun akan berkampung di sekitar Chow Kit, pasti ada pihak yang datang ke sini berkongsi rezeki dengan menghulurkan sumbangan.
“Setiap tahun anak-anak saya berjaya mengumpul duit raya kira-kira RM300. Walaupun sudah dewasa, mereka tetap hulur sampul raya,” katanya.
Bagi Rahim, 39, kebanyakan mereka yang berkampung di lokasi itu tersebut bukannya gelandangan sepenuh masa, sebaliknya diuji dengan masalah kesempitan hidup.
“Mereka menggunakan kesempatan minggu akhir Ramadan untuk mendapatkan bantuan yang disalurkan pelbagai pihak. Ada muka baharu, kami sendiri pun tidak pernah nampak mereka sebelum ini.
“Kebanyakan mereka bukan orang jalanan sepenuh masa, mungkin mereka datang dari luar Kuala Lumpur,” katanya.
Tinjauan Kosmo! selama empat jam di lokasi tersebut mendapati, lebih lima pihak yang tampil menghulurkan sumbangan kepada golongan berkenaan.
Walaupun sesak, keadaan di lokasi tersebut masih terkawal apabila bekas makanan dan plastik minuman dikumpulkan di beberapa sudut bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan. -KOSMO! ONLINE














