PETALING JAYA– Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dikatakan telah mengemukakan rayuan untuk kembali menyertai UMNO apabila menyerahkan sendiri surat permohonan kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid menerusi satu perkongsian memaklumkan, beliau menerima kunjungan Khairy yang hadir menyerahkan surat rayuan berkenaan pada malam ke-26 Ramadan.
Menurutnya, secara peribadi beliau menerima permohonan tersebut sebelum ia dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan dipertimbangkan.
“Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO.
“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, usaha penyatuan itu selari dengan gagasan Rumah Bangsa yang bertujuan merapatkan kembali hubungan dalam kalangan ahli parti yang pernah berpisah.
“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut, biduk lalu, kiambang bertaut. Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita,” ujarnya.
Beliau turut berharap usaha tersebut dapat mempertemukan kembali pihak yang pernah berbeza pendapat sekali gus memperkukuh kekuatan UMNO sebagai parti politik utama orang Melayu dan umat Islam di negara ini.- KOSMO! ONLINE














