fbpx
Amy Madigan meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) ke-98.

Penantian 40 tahun berakhir, Amy Mandigan genggam trofi Oscar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TITIK peluh selama 40 tahun membuahkan hasil apabila pelakon Hollywood, Amy Madigan meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) ke-98 yang berlangsung di Dolby Theatre, hari ini.

Kemenangan Madigan menerusi filem seram supernatural, Weapons arahan Zach Cregger itu sekali gus memecah rekod sebagai pelakon yang mempunyai jurang masa paling lama antara pencalonan pertama sehingga akhirnya berjaya menggenggam trofi.

Mandigan, 75, yang pernah dicalonkan buat kali pertama pada tahun 1985 menerusi filem Twice In A Lifetime, memberikan persembahan memukau sebagai Aunt Gladys iaitu wanita misteri yang menyeramkan dalam naskhah Weapons.

Malah, penampilan watak tersebut yang mengenakan solekan tebal serta cermin mata besar tular dalam media sosial sebelum musim anugerah bermula.

“Apa yang berbeza sekarang adalah saya akhirnya mendapat patung emas (trofi) kecil ini,” katanya.

Menerusi kategori tersebut, Madigan menewaskan pesaing hebat lain termasuk Elle Fanning dan Inga Ibsdotter Lilleaas (Sentimental Value), Wunmi Mosaku (Sinners) serta Teyana Taylor (One Battle After Another).

Dalam pada itu, aura bintang veteran terus menyinar apabila Sean Penn, 65, mengukuhkan reputasinya sebagai antara aktor terbaik dunia selepas meraih trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Kemenangan menerusi filem One Battle After Another menyaksikan Penn kini menyertai kelompok elit pelakon lelaki yang memiliki tiga trofi Oscar, setanding legenda seperti Daniel Day-Lewis, Jack Nicholson dan Walter Brennan.

Sebelum ini, Penn pernah menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi naskhah Mystic River (2004) dan Milk (2009).

Bagaimanapun, Penn yang terkenal dengan sikap sinisnya terhadap majlis penganugerahan sekali lagi mencuri tumpuan apabila tidak hadir untuk menerima trofi tersebut secara peribadi.

Menerusi kategori berkenaan, Penn mengetepikan saingan daripada Benicio del Toro (One Battle After Another), Delroy Lindo (Sinners), Stellan Skarsgård (Sentimental Value) serta pelakon muda meningkat naik, Jacob Elordi menerusi filem Frankenstein. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI